PKR janji mahu rampas Kelantan daripada Pas

 Ismail Mohamad
Ismail Mohamad
A
A
A

MELAKA TENGAH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan berjanji untuk berjuang habis-habisan bagi mengambil alih tampuk pentadbiran negeri itu daripada Pas.

Perwakilan dari Kelantan, Ismail Mohamad berkata, umum sedia maklum bahawa Kelantan merupakan negeri termiskin di negara ini.

Menurutnya, negeri itu mempunyai peratusan tinggi orang Melayu dan Islam.

"Saya dari Kelantan. Negeri saya berada di bawah pembangkang dan saya pembangkang di negeri saya sendiri.

"Tapi kami telah berjanji. Kami bersama kepimpinan Datuk Seri Supardi (Pengerusi PKR Kelantan) akan berjuang habis-habisan untuk mengambil alih pentadbiran di Kelantan daripada Pas.

"Inilah iltizam dan semangat kami untuk kembalikan maruah PKR di bumi Kelantan," katanya ketika berucap membahas dasar ucapan presiden pada Kongres Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Justeru beliau memohon agar kepimpinan parti membantu PKR Kelantan dengan tidak menganaktirikan mereka.

Menurutnya, Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim diibaratkan seperti lilin yang membakar diri demi menerangi orang lain.

Artikel Berkaitan:

"Inilah insan (Anwar) yang paling layak menjadi Perdana Menteri kelapan. Kita tidak mahu lagi dengar suara pemberontak dan suara pengkhianat dalam parti.

"Kalau ada suara yang cuba meroboh dan memecahkan parti kita, keluar mereka dari PKR," katanya.

Perasmian kongres disempurnakan Anwar dengan kehadiran seramai 1,905 perwakilan seluruh negara dan lebih 1,500 pemerhati.