#MalaysiaKerja dilaksana Jun tahun depan: Guan Eng

Guan Eng (dua dari kiri) menyerahkan mesin gergaji rantai kepada penerima di Dewan Sri Bagan Jermal hari ini.
Guan Eng (dua dari kiri) menyerahkan mesin gergaji rantai kepada penerima di Dewan Sri Bagan Jermal hari ini.
A
A
A

BUTTERWORTH - Inisiatif #MalaysiaKerja (Malaysians@Work) akan dilaksanakan pada pertengahan tahun hadapan bagi mewujudkan peluang pekerjaan lebih baik untuk golongan belia dan wanita.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, inisiatif yang akan dilaksanakan sepenuhnya oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu akan dilaksanakan pada Jun selama lima tahun dalam mewujudkan tambahan peluang pekerjaan sebanyak 350,000 kepada rakyat Malaysia.

Menurutnya, kerajaan memperuntukkan RM6.5 bilion sepanjang tempoh pelaksanaannya untuk mereka yang susah mendapat pekerjaan selain untuk mengurangkan kadar pengangguran negara.

"Kerajaan baru mengambil pendekatan profesionalisme iaitu menyerahkan tugas berat ini kepada pihak yang mempunyai kepakaran iaitu KWSP untuk menguruskan #MalaysiaKerja ini.

"Dengan pelaksanaan inisiatif ini, dijangkakan sebanyak 350,000 peluang pekerjaan dapat diwujudkan sepanjang tempoh lima tahun. Jumlah itu tidak termasuk untuk sektor swasta, jika ditambah kira-kira lebih sejuta peluang pekerjaan akan disediakan," katanya pada sidang media di Dewan Sri Bagan Jermal di sini hari ini.

Terdahulu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menyerahkan sebanyak 24 mesin gergaji rantai dan 14 alat pelindung diri kepada 11 penerima antaranya Persatuan Bomba Sukarela Bagan Ajam, Pusat Khidmat ADUN Bagan Jermal, Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth dan Balai Polis Mak Mandin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, inisiatif #MalaysiaKerja dilihat sebagai serampang dua mata kerana ia akan menguntungkan pekerja dan majikan.

"Program ini berbeza dengan yang lain dan memberi kebaikan kepada majikan juga. Ia akan mewujudkan peluang pekerjaan lebih baik untuk golongan belia dan wanita, sekali gus mengurangkan kebergantungan pada pekerja asing berkemahiran rendah.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat tempatan yang menggantikan pekerja asing akan diberikan insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM350 atau RM500 sebulan mengikut sektor. Sementara itu, majikan akan menerima insentif pengambilan sebanyak RM250 sebulan dalam tempoh yang sama," katanya.

Guan Eng berkata, #MalaysiaKerja dibahagikan kepada empat program yang disasarkan kepada pekerja dan majikan dengan menyediakan pelbagai insentif.

"Empat program disediakan iaitu #GraduanKerja, #WanitaKerja, #WatanKerja dan #PerantisKerja. Dengan usaha ini, kita harap kadar pengangguran negara iaitu 3.3 peratus dan kadar pengangguran bagi orang muda iaitu 11 peratus dapat diturunkan.

"Kerajaan berharap dapat mengurangkan separuh daripada kadar ini selepas usaha ini dilaksanakan. Isu pekerjaan tidak patut digunakan untuk serang mana-mana pihak. Oleh itu saya berharap agar usaha kerajaan ini disokong oleh semua termasuk pihak pembangkang," katanya.

Pada 21 November lalu, inisiatif #MalaysiaKerja dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2019 anjuran KWSP.