'Amanah perlu jadi 'gam paling kuat' damaikan PH'

Mohd Fadzly ketika ketika membahas usul Pidato Presiden bertajuk 'Setahun kerajaan PH' pada Konvensyen Nasional Amanah 2019 di IDCC di sini hari ini. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Mohd Fadzly ketika ketika membahas usul Pidato Presiden bertajuk 'Setahun kerajaan PH' pada Konvensyen Nasional Amanah 2019 di IDCC di sini hari ini. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) perlu menjadi 'gam paling kuat' dalam mengurangkan ketegangan yang dihadapi parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Perwakilan dari Pahang, Mohd Fadzly Mohd Ramly berkata, parti itu juga perlu terus mengekalkan kestabilan PH dengan mengambil peranan untuk menasihati rakan parti komponen dalam isu tersebut.

"Rakyat dah meluat dengan percaturan untuk tukar Perdana Menteri, krisis dalaman PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan sebagainya.

"Maka amat penting untuk Amanah kekal sebagai sebuah parti yang mendamaikan PH," katanya ketika membahas usul Pidato Presiden bertajuk 'Setahun kerajaan PH' pada Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.

Sementara itu Mohd Fadzly turut menyentuh berkenaan keghairahan pemimpin PH membuat perubahan seperti isu ratifikasi Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), tulisan jawi, undi 18 tahun, pembangunan Kampung Baru termasuk penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Menurutnya, kesemua perkara itu hanya mencipta satu perubahan yang tidak perlu sehingga menyebabkan berlakunya 'peperangan tidak dikehendaki' kepada PH.

"Sepatutnya kerajaan PH mengekalkan kestabilan dan mengambil langkah populis serta melaksanakan apa yang disebut sebagai MIC iaitu 'maintain' dulu, 'improve' baru 'change'.

"Kita tak boleh CIN iaitu 'change' dulu, kemudian 'improve' dan 'maintain'," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Mohd Fadzly mengingatkan para menteri untuk memanfaatkan elemen naratif golongan yang menyokong siapa yang ada kuasa.

"Sebelum ini sudah ada naratif Melayu yang masih sokong UMNO dan naratif kedua iaitu naratif Islamis yang sokong Pas.

"Jadi saya harap menteri-menteri kita boleh manfaatkan elemen ketiga yang menyokong siapa yang ada kuasa kerana bagi mereka orang yang memiliki kuasa boleh menjadi tempat untuk bergantung, " katanya.