'Lapan daripada 10 pengundi tak puas hati kerajaan PH'

Abdul Malek - FOTO ROSLI TALIB
Abdul Malek - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai lapan daripada 10 rakyat yang mengundi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu menyuarakan rasa tidak puas hati dan bimbang dengan gerak kerja pentadbiran kerajaan sekarang ini.

Perwakilan dari Negeri Sembilan, Abdul Malek Alias berkata, pendedahan dibuat menerusi tinjauan rawak pihaknya.

Menurutnya, majoriti rakyat juga bimbang dengan pelaksanaan polisi dan agihan peruntukan kerajaan PH yang dilihat tidak memberi kelebihan kepada mereka di samping isu persepsi media sosial dimainkan parti pembangkang.

"Adakah hari ini rakyat melihat sebuah kerajaan stabil? Saya jumpa rakyat mengundi PH di kedai kopi, masjid dan surau... daripada 10 saya jumpa, lapan daripada mereka menunjukkan rasa tidak puas hati dengan kerajaan PH.

"Mereka semakin bimbang persepsi media sosial dimainkan parti pembangkang dan terima maklumat kerajaan ini bukan kerajaan diharapkan selepas (PRU14) 10 Mei lalu.

"Kita perlu buat sesuatu untuk pastikan kita bukan kerajaan sepenggal sekali gus mematahkan dakwaan pembangkang mengatakan PH hanya tahan lima tahun," katanya sewaktu menyampaikan perbahasan Pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Malek turut menegaskan keperluan Amanah untuk meletakkan individu tepat dalam mana-mana agensi kerajaan dipimpin parti itu ketika ini.

Menurutnya, keputusan meletakkan individu tidak berkeupayaan dan berkemampuan dalam melicinkan pentadbiran agensi kerajaan dikhuatiri mengundang 'puaka' dalam organisasi sekali gus mendatangkan kemarahan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, perwakilan dari Melaka, Jamzuri Ardani sewaktu berbahas menggesa semua pegawai akhbar menteri Amanah berkomunikasi lebih rapat dengan organ parti seperti Media Oren supaya setiap maklumat penting kerajaan dapat disalurkan kepada rakyat.

Jamzuri - FOTO ROSLI TALIB
Jamzuri - FOTO ROSLI TALIB

"Kita juga seolah-olah tiada menteri salur yang menyalurkan maklumat komunikasi positif berkaitan agenda kerajaan kepada rakyat.

"Saya difahamkan (stesen televisyen) TV3 pun masih lagi menyiarkan Perhimpunan Agung UMNO secara langsung selepas kita menjadi kerajaan PH. Ini tidak sepatutnya berlaku," katanya.