Maszlee, MB Johor bincang isu pendidikan

Maszlee bersalaman dengan Osman.
Maszlee bersalaman dengan Osman.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Johor mengadakan pertemuan membincangkan isu berkaitan pendidikan, hari ini.

Perbincangan antara Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dengan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian itu berlangsung di Kota Iskandar di sini.

Selain itu, pertemuan tersebut turut disertai delegasi kementerian berkenaan dan kerajaan negeri.

Maszlee berkata, menerusi perbincangan seumpama itu, kerjasama erat perlu berlaku di antara Kementerian Pendidikan dengan Kerajaan Johor.

"Di Johor selain daripada sekolah, terdapat juga pusat-pusat matrikulasi, institut perguruan, universiti, politeknik dan kolej komuniti.

"Jadi perbincangan seperti ini perlu berlaku dan bukan sekadar di negeri Johor malah di negeri-negeri lain di seluruh Malaysia," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Maszlee berkata, Kementerian Pendidikan berharap persefahaman seperti itu akan membuahkan hasil lebih baik di masa hadapan dalam sektor pendidikan.

Selain itu, katanya, pertemuan itu juga turut membincangkan tentang perancangan kerajaan negeri untuk menubuhkan Universiti Johor dan Kempen Dekad Membaca Kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri akan menyahut dan bersama melakukan gerakan kempen membaca di seluruh Johor," katanya.

Ditanya lanjut mengenai Universiti Johor, beliau berkata, perkara itu masih di peringkat prinsip, dasar dan perbincangan.

"Saya yakin bagi pihak kerajaan negeri, melalui Exco Pendidikan, Aminolhuda (Hassan) telah memulakan langkah tersebut.

"Bagi pihak Kementerian Pendidikan, kita akan membantu apa yang sedaya mungkin untuk menjayakan harapan tersebut," katanya.

Sementara itu, Aminolhuda berkata, usaha mewujudkan Universiti Johor yang kini dalam perancangan, sudah memasuki peringkat kedua.

"Peringkat pertama, penubuhan jawatankuasa tenaga pakar yang untuk membincangkan tentang hala tuju atau perkara yang berkaitan dengan asas sebuah universiti.

"Dan kita telah dapat satu gambaran awal untuk menaiktaraf KPYPJ dan dan akan melaksanakannya insya-ALLAH," katanya.

Beliau berkata, dari segi lokasi Universiti Johor, kedudukannya berkemungkinan besar tidak jauh dari KPYPJ yang ada sekarang.