'Dah besar nanti abang nak tolong keluarga'

Kesemua penerima sumbangan BSN menerusi program Jom To School BSN bergambar sejurus program tersebut yang diadakan di Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Perak baru-baru ini.
Kesemua penerima sumbangan BSN menerusi program Jom To School BSN bergambar sejurus program tersebut yang diadakan di Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Perak baru-baru ini.
A
A
A

IPOH - 'Dah besar nanti abang nak tolong keluarga, " luah Daniel Adam Low Hassan, 11, murid Sekolah Kebangsaan Tambun di sini yang menerima sumbangan barangan persekolahan dari Bank Simpanan Nasional (BSN) baru-baru ini.

Tinggal dalam keluarga yang sederhana, Daniel Adam mengakui sering membantu ibunya membuat karipap untuk dijual sebagai membantu menambah pendapatan keluarga.

Menurutnya, dia turut membantu adiknya, Helisya Balqis Low Hassan, 9, yang turut bersekolah di tempat yang sama untuk bersama-sama belajar.

"Saya datang daripada keluarga yang sederhana saja. Mak kerja jual karipap tolong ayah. Jadi saya dan adik nak belajar rajin-rajin sebab nak bantu keluarga.

"Terima kasih kami ucapkan kepada pihak BSN kerana beri bantuan kelengkapan sekolah. Dapatlah kami pakai baju baru tahun ini," katanya kepada Sinar Harian selepas ditemui pada program Jom To School BSN di Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Perak baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Komunikasi Strategik BSN, Aizurra Mellissa Muzammil dan Pengarah Negeri BSN Perak, Mazlan Mat Jalil.

Pada majlis itu, seramai 100 murid daripada 13 sekolah kebangsaan di daerah Kinta Utara menerima sumbangan tersebut yang terdiri daripada kelengkapan persekolahan dan deposit RM50 ke dalam akaun murid.

Sementara itu Mazlan berkata, pemberian bantuan tersebut diharap dapat membantu meringankan beban murid kurang berkemampuan khususnya golongan asnaf bagi memulakan sesi persekolahan tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, atas dasar itu BSN dengan kerjasama pihak sekolah menganjurkan Jom To School yang merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat.

"Selain itu, penganjuran program ini juga sebagai tanda penghargaan kepada sekolah-sekolah dan guru-guru yang setia menyokong kempen serta aktiviti promosi yang dilaksanakan BSN selama ini.

"Jika tiada sokongan daripada sekolah dan guru-guru, mana mungkin kempen dan aktiviti yang dijalankan BSN dapat dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan.