'Gencatan politik' menyejukkan kehangatan politik PKR

Kongres Nasional Tahunan Wanita dan Angkatan Muda Keadilan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh. - Foto Bernama
Kongres Nasional Tahunan Wanita dan Angkatan Muda Keadilan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh. - Foto Bernama
A
A
A

'GENJATAN politik' mungkin boleh dikatakan istilah baharu dalam persada politik tanah air apabila perselisihan sesama pemimpin terhenti buat sementara waktu demi kemaslahatan sesebuah parti politik.

Jika dalam istilah perang, gencatan senjata diertikan sebagai pemberhentian sementara perang di mana setiap pihak bersetuju untuk menggantung tindakan agresif, sebaliknya 'gencatan politik' boleh digambarkan dengan maksud sama iaitu berhenti bertelagah.

Mungkin itu boleh ditafsirkan dalam situasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila sejak pemilihan parti pada tahun lalu, para pemimpin saling sindir-menyindir sesama sendiri, malah mengeluarkan kenyataan media secara terbuka dan tanpa berselindung lagi berani menyebut nama individu tertentu.

Kebimbangan itu terus berlarutan sehinggalah saat menjelangnya Kongres PKR sehingga timbulnya ura-ura bahawa akan satu lagi kongres dijangka berlangsung di Kuala Lumpur serentak tarikh dengan kongres rasmi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Walau bagaimanapun, andaian itu ternyata meleset apabila melihat solidariti dan kemesraan ditunjukkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas Mesyuarat Khas Biro Politik di Parlimen pada baru-baru ini.

Malah mesyuarat itu memutuskan Mohamed Azmin dijemput merasmikan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) sedangkan pada perancangan asal sepatutnya Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berada di pentas perasmian tersebut.

Untuk makluman, isu individu yang sepatutnya merasmikan Kongres AMK telah menjadi bibit pergeleseran 'rumah tangga' PKR apabila satu pihak mengatakan secara tradisinya Timbalan Presiden PKR merasmikan Kongres AMK dan Wanita PKR, bukannya pemimpin lain.

Namun terdapat banyak lagi isu menjadi punca krisis pemimpin antaranya pemecatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Zakaria Ahmad dan ahli PKR Pahang, Ismail Dulhadi serta penamatan perkhidmatan jawatan Pengerusi Tetap AMK, Mizan Adli Mohd Noor serta timbalannya, Mohd. Ramly Ahmad, namun langkah menjemput kembali Mohamed Azmin merasmikan Kongres AMK sedikit sebanyak berjaya menyejukkan suhu ketegangan parti itu yang mencecah usia 16 tahun.

Artikel Berkaitan:

Penganalisis Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Syed Agil Shekh Alsagof memberi gambaran PKR akan berpecah-belah sekiranya konflik kepimpinan parti berterusan dan tidak diselesaikan dengan segera. Malah katanya, perkara itu memberi persepsi negatif kepada pembangunan politik parti berkenaan.

Persoalannya adakah sama ada 'gencatan politik' itu bakal menjadi titik perpaduan parti tersebut yang ditubuhkan atas semangat idealisme reformasi? Jawapannya terpulang kepada pemimpin dan ahli-ahli sama ada untuk meneruskan kesatuan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sehinggalah semangat itu berjaya menumbangkan penguasaan Barisan Nasional di negara ini selama 60 tahun.

Kepada pemimpin PKR yang kini sedang tekun mendengar perbahasan ucapan dasar, sila hayati peribahasa ini 'bersatu kita teguh, bercerai kita roboh'.