'Tetap berharap walau ia jalan terakhir...'

A
A
A

SEMENYIH - Seorang bapa tidak berhenti berharap melihat anak yang terlantar sakit sejak setahun lalu kembali normal.

Fahaizal Zee Mohd Jaapar, 47, berkata, Nurul Sharmine Sofea Fahaizal Zee, 21, yang menderita masalah saraf menjalani ujian 'genom test sequency' yang mana sampel akan dihantar ke Amerika Syarikat (AS) untuk dianalisis.

Menurutnya, ia jalan terakhir selepas pakar perubatan hospital tempatan masih belum dapat mengesan punca penyakitnya sehingga kini.

"Genom test sequency adalah teknologi terbaru dibangunkan oleh pakar perubatan di AS dan Sharmine adalah pesakit kedua dari Malaysia yang menggunakannya.

"Kos RM9,600 ditanggung Lembaga Zakat Selangor dan dijangka keputusannya akan diketahui antara satu hingga dua bulan lagi," katanya.

Fahaizal berkata, mereka sekeluarga mahu memberikan rawatan terbaik buat anaknya namun disebabkan masalah kewangan, mereka terpaksa membatalkan hasrat itu.

"Saya tiada pendapatan tetap dan bergantung dengan pencen ilat yang perlu digunakan sebaiknya untuk perbelanjaan anak-anak lain yang masih bersekolah.

"Pakar perubatan juga sarankan kami mendapatkan rawatan dalam negara saja kerana kita mempunyai tenaga pakar yang terbaik cuma fasiliti agak kurang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Fahaizal berkata, dia juga bercadang membuka tabung dana bagi menampung kos ubatan yang kemungkinan mahal kerana diimport dari luar negara.

"Saya perlu buat persediaan awal sementara menunggu keputusan ujian sampel keluar. Dijangka kos perubatannya pada masa akan datang menjadi mahal selepas penyakitnya dikenal pasti.

"Kami sekeluarga berharap Sharmine akan kembali pulih seperti sedia kala.

"Sakit yang dialaminya membataskannya untuk meneruskan cita-citanya menyambung pelajaran ke peringkat ijazah, malah terpaksa mendapatkan sokongan oksigen sekurang-kurangnya satu jam setiap hari bagi mengelak gangguan saraf," katanya.

Sharmine mula sakit sejak setahun lalu, bermula dengan hanya hilang deria sentuh pada tapak kaki, kini anak kedua daripada enam beradik itu lumpuh anggota badan dan tidak mampu menguruskan diri.

Orang ramai yang ingin menyumbang bagi tabung perubatan Sharmine boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank bapanya, Fahaizal Zee Mohd Jaapar, 162414104215.