'Pemimpin Biro Pembangunan Wanita sila letak jawatan'

Haniza - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Haniza - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

MELAKA - Ahli Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memegang jawatan dalam Biro Pembangunan Wanita diarahkan untuk meletak jawatan itu serta-merta kerana ia bertentangan dengan peraturan parti.

Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha berkata, penubuhan jawatan itu yang diwujudkan oleh sesetengah Majlis Pimpinan Negeri (MPN) hanya akan memecahbelahkan wanita dan menjadikan mereka berpuak-puak.

Menurutnya, jawatan Biro Pembangunan Wanita tidak sepatutnya ditubuhkan dan dilihat boleh melemahkan sayap Wanita PKR kerana fungsinya selari dengan peranan Ketua Wanita negeri.

"Ini perbuatan yang tak boleh bertolak ansur kerana ia boleh memusnahkan wanita. Beritahu kepada pengerusi negeri bahawa ini bertentangan dengan peraturan wanita.

"Mungkin kita rasa megah bila ada orang menyebut nama kita tapi kita lupa itu hanyalah muslihat untuk menggunakan kita bagi memenuhi agenda tersendiri," katanya semasa ucapan penggulungan Kongres Tahunan Wanita PKR 2019 di sini hari ini.

Haniza berkata, pemimpin dan ahli PKR perlu sedar dan jangan biarkan diri dipergunakan untuk memenuhi agenda pihak tertentu.

"Wanita tidak harus berfikiran singkat kerana tindakan itu hanya akan membuatkan wanita berundur ke belakang.

"Kita telah berusaha begitu keras untuk sampai ke tahap ini, jangan dengan perbuatan puan-puan itu memusnahkan segala usaha penat lelah, air mata darah, harta benda, masa, kasih sayang selama ini kita korbankan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyeru agar semua perwakilan kembali merapatkan saf dan bersatu kembali kepada perjuangan parti.

"Tak ada guna kita berjalan arah yang berlainan sedangkan matlamat kita sama iaitu untuk menegakkan keadilan dan mengangkat martabat wanita," katanya.