Tarik peruntukan MP jika gagal isytihar harta: Mahfuz

Mahfuz menjawab soalan pemberita selepas sidang akhbar Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Pusat Konvensyen Ideal.
Mahfuz menjawab soalan pemberita selepas sidang akhbar Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Pusat Konvensyen Ideal.
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar mencadangkan agar peruntukan pembangunan kepada mana-mana Ahli Parlimen yang gagal mengisytiharkan harta ditarik balik oleh kerajaan.

Beliau berkata, peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen adalah berada di bawah bidang kuasa Perdana Menteri dan penarikan tersebut tidak memerlukan sebarang pindaan.

Menurutnya, peruntukan itu mungkin boleh diberikan semula dengan menggunakan saluran lain bagi membangunkan kawasan yang diwakili Ahli Parlimen tersebut.

"Mana-mana Ahli Parlimen yang gagal menunjukkan ketelusan untuk isytihar harta boleh diragui dan wajar peruntukan pembangunan itu ditarik balik.

"Selain peruntukan pembangunan, terdapat beberapa lagi kemudahan lain yang boleh ditarik antaranya melibatkan rawatan hospital, lesen import (AP) kereta dan lain-lain," katanya.

Mahfuz yang juga merupakan Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata demikian kepada pemberita selepas sidang akhbar Konvensyen Nasional Amanah 2019 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 62 Ahli Parlimen pembangkang termasuk Bebas masih belum mengisytiharkan harta biar pun tempoh yang diberikan telah tamat.

Difahamkan, pihak terlibat boleh berdepan tindakan termasuk digantung daripada menghadiri Dewan Rakyat atau didenda RM1,000 kerana menghina Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, keputusan 62 Ahli Parlimen pembangkang gagal melakukan pengisytiharan harta kepada Parlimen adalah melanggar keputusan diluluskan dalam Dewan Rakyat sebelum ini.

Menurutnya, tindakan itu memberi ruang kepada rakyat untuk menilai sikap mereka yang tidak telus.

"Pelaksanaan janji pengisytiharan harta wakil rakyat kepada Parlimen memang (salah satu) manifesto Pakatan Harapan (PH), tetapi selepas jadi kerajaan...janji tu dijadikan dasar kerajaan untuk dipatuhi rakyat dan Ahli Parlimen.

"Maka kalau (ahli parlimen pembangkang) tidak isytihar, mereka sebenarnya langgar keputusan diluluskan di Parlimen.

"Itu satu perkara tidak baik. Mengapa mereka tidak mahu dan takut untuk mengisytiharkan harta? Itu satu perkara pelik berlaku dan rakyat boleh menilai mereka selepas ini," katanya.