719 premis tak pamer tanda larangan merokok

Afif melekatkan papan tanda larangan merokok di salah sebuah kedai.
Afif melekatkan papan tanda larangan merokok di salah sebuah kedai.
A
A
A

GEORGETOWN - Sebanyak 1,900 premis diberi amaran kerana kesalahan dalam mempamerkan tanda larangan merokok di negeri ini.

Exco Kesihatan, Dr Afif Bahardin berkata, daripada jumlah itu, 719 premis didapati langsung tidak mempamerkan tanda larangan merokok manakala 1,181 premis, mempamerkan tanda larangan yang tidak menepati syarat.

Menurutnya, bermula 1 Januari sehingga semalam, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang memeriksa 1,394 premis di seluruh negeri ini.

"Menerusi operasi pelaksanaan penguatkuasaan secara pendidikan di tempat makan sebagai tempat larangan merokok, kita telah memeriksa lebih 1,000 premis. Ia susulan daripada penguatkuasaan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan bermula 1 Januari lalu.

"Menerusi operasi itu, sehingga 6 Januari, tujuh perokok iaitu lima warganegara dan dua warganegara asing telah di beri amaran kerana merokok di kawasan larangan. Tiada surat kompaun dikeluarkan, ia hanya amaran sahaja.

"Operasi ini akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan semua premis dan orang ramai mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya kepada media tadi.

Terdahulu, Afif bersama wakil Jabatan Kesihatan Pulau Pinang meninjau beberapa kedai makan sekitar bandar ini selain mengedarkan tanda larangan merokok kepada pemilik premis terlibat.

Tambahnya, sebanyak 3,254 risalah mengenai larangan merokok di tempat makan telah diedarkan.

Artikel Berkaitan:

Afif berkata, usaha itu merupakan susulan daripada inisiatif Kerajaan Pulau Pinang yang melancarkan Pulau Pinang Bebas Asap Rokok (Penbar) sebelum ini.

"Sebelum ini, Penbar telah mewartakan taman awam dan Tapak Warisan Dunia Georgetown sebagai kawasan bebas asap rokok. Pada tahun lalu, sehingga November, sebanyak 648 perokok telah dikompaun melibatkan RM48,430.

"Nilai kompaun adalah minimum RM250 hingga RM5,000. Tujuan Penbar adalah lebih kepada menurunkan sikap masyarakat yang terlalu bertoleransi dengan perokok terutamanya apabila mereka merokok di tempat awam dan secara terbuka.

"Sebagai orang awam, mereka mempunyai hak untuk menegur perokok sekiranya didapati merokok di tempat larangan merokok. Adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk menjaga kesihatan dan persekitaran agar tidak tercemar dengan asap rokok," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri bersama Jabatan Kesihatan Pulau Pinang sedang mengkaji untuk menggazetkan seluruh Pulau Pinang sebagai zon larangan merokok.

"Sebelum ini, hanya beberapa kawasan sahaja antaranya masjid, rumah ibadat dan kawasan Tapak Warisan Dunia Georgetown yang dijadikan kawasan larangan merokok. Buat masa ini, kita sedang mengkaji untuk melaksanakannya.

"Kita harap polisi ini dapat diperkenalkan dalam tahun ini. Polisi ini bukan bermakna mereka langsung tidak boleh merokok, kita tak sekat (mereka untuk merokok). Akan disediakan satu kawasan tertentu untuk merokok iaitu jauh dari orang ramai," katanya.