Empat tahun bertahan bukti Amanah bukan 'parti nyamuk'

Abang Ahmad Kerdee menyampaikan ucapan pada Konvensyen Nasional 2019 Parti Amanah yang diadakan di IDCC, Shah Alam. - Foto: Rosli Talib
Abang Ahmad Kerdee menyampaikan ucapan pada Konvensyen Nasional 2019 Parti Amanah yang diadakan di IDCC, Shah Alam. - Foto: Rosli Talib
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) membuktikan penubuhannya bukan hanya sekadar 'parti nyamuk' selepas berjaya bertahan selama empat tahun.

Pemangku Setiausaha Agung Amanah, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus berkata, sebelum ini terdapat beberapa pihak mengatakan parti itu hanya mampu bertahan selama enam bulan namun ternyata dakwaan berkenaan meleset sama sekali.

Abang Ahmad berkata, pihaknya percaya parti tersebut akan terus menjadi sebuah parti yang segar dalam negara.

"Ada pihak gelar kita parti nyamuk, (tapi) nyamuk ini kini di Putrajaya.

"Ada juga pihak yang tentukan Amanah hanya akan bertahan selama enam bulan, tapi kita berjaya lepasi tempoh itu.

"Lepas itu dikatakan tempoh kita bertahan selama dua tahun pula, namun kita berjaya juga tolak khurafat politik itu dan sehingga kini Amanah sudah capai usia selama empat tahun," katanya.

Abang Ahmad berkata demikian ketika berucap sewaktu Konvensyen Nasional Amanah 2019 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal hari ini.

Mengulas mengenai konvensyen berkenaan, Abang Ahmad berkata, pihaknya berharap agar platform itu dapat digunakan buat semua ahli bagi mencapai kata sepakat untuk dijadikan panduan dalam mendepani masa depan parti.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang penting, kita mesti bergerak bersama-sama dan mara sebagai satu pasukan untuk mendokong Wawasan Kemakmuran Bersama yang dibawa kerajaan Persekutuan," katanya.

Tambah beliau, pentas konvensyen ini juga diharap dapat menjadi ruang terbaik bagi semua ahli parti menilai semula semua beberapa tindakan sebelum ini.