Pergi solat Jumaat naik bot, perahu

Walaupun kawasan kampung dinaiki air, penduduk tetap menunaikan tanggungjawab menunaikan solat Jumaat dengan menaiki bot hari ini. (Gambar kecil: Mohd Saidi)
Walaupun kawasan kampung dinaiki air, penduduk tetap menunaikan tanggungjawab menunaikan solat Jumaat dengan menaiki bot hari ini. (Gambar kecil: Mohd Saidi)
A
A
A

TUMPAT - Biarpun kawasan perkampungan dinaiki air tetapi seramai 200 penduduk sekitar tetap menunaikan solat Jumaat dengan menaiki bot hari ini.

Penduduk yang terlibat ialah dari Kampung Kubang Sawa, Kampung Kuala Jambu dan Kampung Naga Ibu menunaikan solat di Masjid Mukim Kubang Sawa.

Mereka menyeberangi sungai dengan menggunakan bot persendirian dan juga ada yang menumpang sesama sendiri.

Penduduk terpaksa menaiki bot kerana kawasan sekitar masjid ditenggelami air kira-kira 1.5 meter yang turut menampakkan masjid tersebut seperti masjid terapung.

Imam Tua, Mohd Saidi Yunus berkata, jumlah berkenaan lebih kurang sama dengan bilangan jemaah pada hari biasa.

“Alhamdulillah, meskipun kawasan terkena banjir tetapi penduduk di sini tetap datang menunaikan solat Jumaat dengan perahu,” katanya ketika ditemui di masjid tersebut di sini tadi.

Mohd Saidi berkata, sejak tahun 2011 masjid tersebut menjadi tempat penduduk yang tidak mahu berpindah ke pusat pemindahan sementara untuk berlindung.

“Kawasan masjid di sini tinggi. Kita faham masalah penduduk cuma kita menasihatkan mereka menjaga kebersihan dan mengawal anak-anak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 30 mangsa banjir dari kampung sekitar berpindah ke masjid tersebut sejak Isnin lalu dan masing-masing turut menghayati bacaan khutbah yang menyentuh mengenai balasan meringan-ringankan solat.

Sementara itu, seorang penduduk dari Kampung Naga Ibu, Mat Isa Mohd, 46, berkata, dia menggunakan bot untuk ke masjid dan itu tidak menjadi masalah kepadanya.