Guru disaran galak pelajar sertai koperasi

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Nordin Salleh (tiga dari kiri) bersama Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah (dua dari kiri) merasmikan Majlis Penutup Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS) 2019 di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya, Selangor semalam.
Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Nordin Salleh (tiga dari kiri) bersama Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah (dua dari kiri) merasmikan Majlis Penutup Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS) 2019 di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya, Selangor semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Guru disaran mewujudkan persekitaran inovasi untuk menggalakkan para pelajar menjadi anggota koperasi sekolah.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Nordin Salleh berkata, pelajar, guru dan koperasi sekolah adalah tunjang utama untuk menggerakkan pelapis gerakan koperasi negara.

"Guru adalah mentor kepada pelajar sekali gus dapat memainkan peranan untuk memastikan pelajar menjadi menggerakkan koperasi negara sejajar aspirasi koperasi sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi inklusif negara.

“Koperasi sekolah adalah platform penerapan dan pendedahan kepada budaya dan nilai-nilai keusahawanan malah membuka minda pelajar menjadi lebih kreatif, inovatif, berdaya maju, berdikari serta berupaya mencipta peluang pekerjaan untuk negara," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS) 2019 anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya, Selangor semalam.

Dalam pada itu, Nordin Salleh turut memuji usaha Angkasa sebagai penyumbang kepada penggerak koperasi sekolah.

“Saya kagum dengan pencapaian gerakan koperasi sekolah pada hari ini, Angkasa berjaya membawa koperasi sekolah di peringkat nasional dan global sehingga model koperasi sekolah kita menjadi contoh kepada negara lain,” katanya.

Sementara itu, Presiden Angkasa merangkap Presiden ASEAN Co-Operative Organization (ACO), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, koperasi sekolah menunjukkan potensi cemerlang dalam perniagaan sehingga perolehan koperasi mencecah ratusan ribu dan jutaan ringgit.

“Kejayaan ini dibuktikan apabila sembilan buah sekolah berjaya mencatat perolehan melebihi RM1 juta, koperasi akan sentiasa menyokong dan menjadi pelengkap kepada kejayaan sekolah dan ekonomi negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama dalam majlis itu adalah Timbalan Presiden Angkasa merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bahagian Koperasi Sekolah, Datuk Kamaruddin Ismail dan Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKM), Ariffin Mamat.

Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS) 2019 anjuran Angkasa diadakan untuk menghargai dan mengiktiraf koperasi sekolah terbaik di peringkat negeri dan kebangsaan melabuhkan tirainya semalam setelah tiga hari berlangsung bermula 3 hingga 5 Disember.

Angkasa komited dalam memperkasakan koperasi sekolah sebagai platform untuk melatih pelapis pemimpin koperasi negara dan melahirkan bakal usahawan yang berinovasi tinggi.