X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan bergantung 'isyarat' empat PRK, kata Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO tidak boleh hanya bergantung kepada 'isyarat' empat Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dimenangi dengan menganggap parti itu kembali kuat.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebaliknya parti itu perlu kembali fokus dan membuang sikap angkuh, sombong dan besar kepala dengan kemenangan yang dicapai itu.

Menurutnya, UMNO juga tidak boleh terlalu bergantung kepada kemarahan dan rasa mual rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) yang turut menjadi penyumbang kepada kemenangan bagi keempat-empat PRK itu.

"Isyaratnya rakyat masih mahukan kita terus memperkasakan parti kita. Apa kesilapan lampau dan mungkin ketelanjuran yang pernah kita lakukan perlu diperbaiki untuk kita jadi lebih baik sekali gus menampilkan tawaran kepada rakyat.

"Kita tidak boleh bergantung kepada kemarahan dan rasa mual rakyat kepada PH. Belum tentu kemarahan itu bermakna mereka akan menerima kita.

"Paling penting, UMNO dan seluruh gabungan dalam parti Barisan Nasional (BN) dan gabungan kita yang baharu Muafakat Nasional iaitu Pas, kita kena sama-sama merancang," katanya pada sidang media selepas ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertemakan 'Muafakat Nasional Pemacu Politik Malaysia' sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019 di PWTC di sini hari ini.

Mengulas lanjut Asyraf Wajdi berkata, dalam konteks hari ini, UMNO tidak boleh lagi berasa selesa dengan perubahan sokongan rakyat terhadap pembangkang.

"Tetapi yang lebih penting ialah kita kena sentiasa pergi kepada denyut nadi dan jiwa rakyat hari ini yang tertekan dengan segala permasalahan dalam pentadbiran kerajaan PH," katanya.