250kg produk pertanian dari Thailand dirampas

Salah seorang anggota bersama barangan yang dirampas di ICQS Pengkalan Kubor.
Salah seorang anggota bersama barangan yang dirampas di ICQS Pengkalan Kubor.
A
A
A

TUMPAT- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan merampas produk pertanian dari Thailand bernilai RM1,500 yang dibawa masuk tanpa permit sah.

Pengarah Maqis Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, barangan seberat 250 kilogram itu dirampas dalam satu operasi pemeriksaan di bahagian kargo Kompleks Imigresen Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor dekat sini jam 7 pagi semalam.

Menurutnya, barangan yang dirampas terdiri daripada ubi keledek, ubi kemili, limau baby, pisang dan jagung yang dibawa masuk oleh enam peraih tempatan.

“Hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan, Maqis mendapati konsainan tersebut tidak mempunyai permit import Maqis yang sah dan sijil fitosanitari dari negara asal.

“Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit import yang sah dari Maqis adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, di samping memperkukuh hubungan dengan agensi berkaitan, Maqis sentiasa mempertingkatkan kawalan dan komited terhadap keselamatan makanan, kawalan penyakit, risiko kemasukan perosak merbahaya di setiap pintu masuk sama ada laluan darat, udara mahupun laut.

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang ini jelas menunjukkan Maqis serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Antara barangan yang dirampas Maqis Kelantan semalam.
Antara barangan yang dirampas Maqis Kelantan semalam.