Wang RM40,000 untuk bayar gaji pekerja lesap disamun

Dzulkhairi Mukhtar
Dzulkhairi Mukhtar
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang kontraktor terpaksa berputih mata selepas kehilangan wang tunai sebanyak RM40,000 untuk pembayaran gaji pekerja akibat disamun dua lelaki dalam satu kejadian di Jalan Nusaria 11/1 Taman Nusantara di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa yang merupakan lelaki berusia 32 tahun dilaporkan baru selesai mengeluarkan wang berkenaan dari sebuah bank berhampiran sebelum didatangi suspek yang menaiki motosikal.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, mangsa kemudiannya telah diugut oleh salah seorang suspek menggunakan senjata tajam dipercayai pisau.

“Secara tiba-tiba, salah seorang suspek mengeluarkan satu objek dipercayai pisau lalu mengacukannya ke arah pengadu. Suspek juga mengarahkan pengadu mengeluarkan semua wang serta barang yang berada di dalam beg sandangnya.

“Bimbang berlaku perkara tidak diingini, pengadu mengeluarkan semua barang dalam beg sandang miliknya berupa wang tunai bernilai RM40,000, kad bank, beg duit dan dokumen pendaftaran diri.

“Suspek juga turut bertindak agresif dengan menarik rantai emas dipakai mangsa sebelum bertindak melarikan diri dengan menaiki motosikal berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, usaha mengesan kedua-dua suspek berkenaan kini sedang giat dilakukan selain berharap pihak yang mempunyai sebarang maklumat tampil membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

“Kita juga akan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan,” katanya.

Artikel Berkaitan: