Kejutan kongres dan hadiah buat Anwar

No Image Caption
A
A
A

KEJUTAN demi kejutan terus berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjelang Kongres PKR semalam sehingga Ahad di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Dalam pertemuan eksklusif bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau juga beberapa kali menyebut perkara tergempar akan berlaku semasa kongres selama tiga hari itu.

Akhirnya, belum lagi berlangsung kongres, kejutan pertama telah berlaku!

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali yang dilihat sekian lama menghilang diri dari bosnya itu muncul dua hari sebelum majlis besar parti berlangsung.

Sudahlah dikatakan langsung tidak pernah menghadiri mesyuarat parti, beliau juga dilihat semakin jauh jurang dengan bosnya apabila dilihat mengeluarkan kenyataan yang tidak seiring.

Tetapi siapa sangka, beliau muncul dalam mesyuarat biro politik, ada cakap belakang kata iya untuk pertama kali selepas mengekalkan jawatannya nombor dua parti apabila menang dengan Rafizi Ramli.

Kadangkala sampai tak terjangkau fikiran dengan permainan politik hari ini. Apa saja boleh berlaku!

Seni politik ini lain, hari ini berkawan, esok boleh berlawan. Hari ini bermusuh, esok boleh jadi kawan.

Artikel Berkaitan:

Itu adalah perhimpunan besar-besaran pertama PKR selepas hampir 20 tahun memperjuangkan reformasi.

Perjumpaan itu amat signifikan kepada Anwar dan keluarganya juga yang sudah menghadapi pelbagai liku-liku politik dan kisah hitam sepanjang dua dekad ini.

Ambil alih

MITC menjadi saksi Anwar akan hadir sebagai presiden parti yang membawa semangat reformasi yang bermula dengan demonstrasi jalanan sejak pemecatan Anwar sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden UMNO.

Semangat daripada kongres itu juga akan dibawa Anwar untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara daripada Tun Dr Mahathir Mohamad selepas dua tahun memegang jawatan.

Tanggal 5 Mei 2020 adalah satu lagi tarikh keramat buat Malaysia selepas jatuhnya BN!

Kongres kali ini sepatutnya menjadi hadiah paling bermakna buat Anwar daripada ahlinya kerana ini adalah kali pertama tokoh itu berdiri sebagai presiden parti.

Sebagaimana kata Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, jadikanlah pertemuan ini sebagai platform terpenting menggilap idealisme, memperkukuh organisasi dan membentuk hala tuju yang lebih jitu.

Kemenangan mereka dalam PRU ke-14 yang lalu adalah salah satu dari detik-detik kejayaan bagi perjuangan yang panjang.

Antara lain, beliau mengingatkan pelopor dan pejuang parti dari bawah hingga ke peringkat kepimpinan supaya menyatakan dengan penuh keyakinan bahawa perjuangan yang bermula dua dasawarsa lalu bukanlah perjuangan mudah.

”Jadi janganlah dengan sedikit kemenangan yang kita kecapi, kita melupai jasa insan mengorbankan kebebasan dirinya sendiri dan keluarganya demi memastikan masa depan lebih adil untuk semua,” katanya.

Jelas semua pelosok parti mahu perdamaian dan perjalanan panjang selama itu tidak disia-siakan kerana rakyat akan muak dengan sikap kepimpinan parti yang gagal meletakkan kepentingan parti lebih utama dari diri.

Dua kumpulan utama dalam parti juga perlu sedar, rosaknya sebuah parti apabila mula lupa apabila berkuasa dan permainan politik atasan menjadikan pengikut bawa haluan sendiri.

Inilah kesempatan terbaik PKR untuk kembali pada saf perjuangan asal, memaknai semula perjuangan parti sekian lama.

Sudah-sudahlah dengan tim A dan tim B, cukuplah kongres ini jadi platform menjernihkan semula hubungan keruh, tidak perlu lagi dengan perjumpaan lain pada masa sama.

Untuk apa, selain dengan niat provokasi sesama sendiri dalam parti.

Dua orang paling penting parti pun sudah duduk semeja, bawak bincang untuk masa depan parti, bukan lagi bertikam sesama sendiri.

Mungkin peluang bersemuka Anwar dan Azmin ini telah digunakan sebaiknya kedua-dua pihak, menjelaskan apa yang terbuku selama ini untuk kebaikan PKR sendiri.

Drama Anwar dan Azmin hampir ke penghujung, tetapi apakah lagi kejutan dalam pertemuan tiga hari di Melaka nanti? Ini yang masih ternanti?

Penganalisis politik kedai kopi dah boleh buat analisa sendiri, nilai sendiri drama politik masa ini memang sukar untuk dijangka lagi.

Apa yang penting nanti, ahli jangan cepat melatah bawa diri, politik ini penuh dengan strategi.

Selamat bersidang buat hampir 3,000 ahli PKR.

* Mohd Fazli Zainul Abidin ialah Produser Sinar Harian