Perlis pertimbang dapatkan Mat Don

Bekas pemain Kedah ini jadi buruan PFA.
Bekas pemain Kedah ini jadi buruan PFA.
A
A
A

PERLIS meletakkan bekas pemain import sensasi negeri jirannya, Kedah iaitu Liridon Krasniqi dalam senarai sasaran pemain import mereka pada musim ini.

Facebook rasmi mereka, Perlis Northern Lions menyatakan, Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) kini sedang mempertimbangkan saranan penyokong Perlis untuk menandatangani Liridon sebagai salah seorang pemain luar negara untuk pasukan tersebut.

"Liridon atau lebih mesra disapa Mat Don kini berstatus ejen bebas kerana kontrak beliau tidak disambung oleh Kedah menarik minat PFA dan meletakkan beliau di dalam radar pemburuan pemain luar negara.

"PFA berharap dapat memulakan rundingan dengan beliau secepat mungkin kerana barisan kejurulatihan kini sedang dalam proses pemilihan pemain luar negara," katanya.

Tinjauan Sukan Sinar bagaimanapun mendapati penyokong Perlis memberikan pelbagai reaksi kerana mendakwa Mat Don antara pemain import yang menerima gaji lebih RM100,000 sebulan bersama Kedah pada musim lalu.

Hal tersebut pasti menjadi faktor kekangan utama kerana pada waktu yang sama PFA juga dalam proses untuk memperkukuhkan kewangan mereka.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Perlis, Manzoor Azwira Abd Wahid ketika dihubungi mengakui pemain Kosovo tersebut menjadi idaman banyak pasukan di Liga Malaysia berdasarkan kualiti yang dimilikinya.

Menurutnya, beliau percaya Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie juga mempunyai minat yang sama terhadap kemampuan pemain tersebut yang dilihat mampu memberi impak besar kepada Singa Utara.

Artikel Berkaitan:

"Secara peribadi saya melihat Mat Don bukan sahaja mampu membantu pasukan malah auranya juga dapat menarik minat penyokong untuk datang ke stadium seperti dibuktikan olehnya selama empat musim bersama Kedah sebelum ini," katanya.

Jelasnya, Perlis telah menguji lebih 10 pemain import setakat ini pada persiapan pramusim 2019 namun kebanyakkannya gagal memenuhi kriteria yang diharapkan.

"Sudah ada pemain import yang telah berada di dalam senarai namun kami mahu menguji lagi dan berharap mampu mencari yang lebih berkualiti," katanya lagi.