PBB gesa Israel keluar dari Bukit Golan

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (tengah) memegang pengisytiharan ditandatangani Trump yang mengiktiraf kedaulatan Israel di Bukit Golan. - Foto Agensi
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (tengah) memegang pengisytiharan ditandatangani Trump yang mengiktiraf kedaulatan Israel di Bukit Golan. - Foto Agensi
A
A
A

NEW YORK - Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara rasminya menggesa Israel keluar dari Bukit Golan yang dijajah dari Syria pada tahun 1967.

Gesaan itu dibuat selepas PBB menerima pakai resolusi setelah 91 negara anggota mengundi setuju dan 65 lagi menolak dengan sembilan undi berkecuali.

Resolusi menegaskan sesebuah negara itu tidak boleh memperoleh wilayah dengan cara penaklukan dan ia adalah prinsip utama undang-undang antarabangsa.

"Pendudukan terus di Bukit Golan dan penguatkuasaan de factonya merupakan penghalang dalam apa sahaja untuk mencapai keamanan yang adil, komprehensif dan berkekalan di rantau berkenaan.

"Justeru, Israel digesa keluar dari semua pendudukan di Bukit Golan," menurut resolusi tersebut.

PBB turut memutuskan keputusan Israel untuk menguatkuasakan undang-undang di Bukit Golan pada 4 Disember 1981 sebagai batal dan tidak sah.

Keputusan itu dibuat beberapa bulan selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan yang nyata bercanggah dengan beberapa resolusi PBB sebelum ini ketika mengecam kehadiran Zionis di wilayah terbabit.

Pada 15 November tahun lalu, Perhimpunan Agung PBB turut menerima pakai resolusi yang menggesa Israel menghentikan eksploitasi sumber semula jadi di wilayah Palestin termasuk Baitulmaqdis. - Agensi

Artikel Berkaitan: