Dewan Rakyat ditangguh selepas 36 hari bersidang

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Parlimen Ke-14 ditangguhkan selepas 36 hari bersidang sejak 7 Oktober lepas.

Antara Rang Undang-undang (RUU) yang menjadi perhatian pada persidangan kali ini ialah RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2019 berkaitan perjawatan perdana menteri yang dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Melalui pindaan yang dicadangkan ini, seseorang Ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilantik sebagai Perdana Menteri jika pernah memegang jawatan perdana menteri bagi tempoh dua penggal Parlimen.

Selain itu, persidangan kali ini juga mencipta sejarah tersendiri apabila menyaksikan pembentangan Kertas Putih Pertahanan Malaysia bertajuk ‘Selamat, Berdaulat dan Makmur' di Dewan Rakyat yang julung kali dibentangkan kepada umum.

Antara lain, ia menggariskan peranan utama dan sekunder Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain membabitkan lapan mesej utama bagi memperbaharui Dasar Pertahanan Negara (DPN) agar strategi dan keupayaannya seiring dan relevan dengan perubahan persekitaran keselamatan global.

RUU lain yang turut diluluskan termasuk RUU Perbekalan 2020 (Belanjawan 2020), RUU Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (Pembubaran) 2019, RUU Pengangkutan Barang Melalui Laut (Pindaan) 2019 dan RUU Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2019.

Sebelum menangguhkan persidangan, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mewakili Yang Dipertua Dewan, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya, Datuk Rashid Hasnon, merakamkan setinggi terima kasih kepada semua Ahli Parlimen yang telah memberi kerjasama semasa persidangan.

“Segala pengalaman pahit manis sepanjang masa, menjalankan amanah, tanggungjawab adalah semata-mata untuk memastikan keadilan dan roh demokrasi terus dijunjung.

Artikel Berkaitan:

“Semoga semua usaha yang dicurahkan ini menjadi aspirasi dan harapan ke arah memacu Malaysia baharu dan bersatu yang pastinya akan jadi warisan kepada generasi akan datang,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pegawai kerajaan, pegawai Parlimen Malaysia, media serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam mengendalikan mesyuarat selama sembilan minggu itu.

Kor Ming dalam masa sama juga mengucapkan Selamat Hari Natal kepada rakyat Malaysia yang akan menyambutnya pada 25 Disember ini, selain Selamat Tahun Baharu 2020, Selamat Tahun Baharu Cina (25 Januari 2020) dan Hari Thaipusam 8 Februari 2020.

Persidangan dewan ditangguh ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. - Bernama