Suspek kes tetak ditahan

Suprintendan Tok Beng Yeow
Suprintendan Tok Beng Yeow
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian tetak di sebuah rumah di Jalan Rumah Pangsa 4, Kulai, di sini, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Suprintendan Tok Beng Yeow berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.30 pagi di Jalan Lengkongan, Kampung Baru Cina, Kulai, selepas menerima maklumat orang awam.

"Insiden ini (tetak) disyaki berlaku apabila mangsa menyedari kehadiran suspek yang ketika itu memecah masuk kediamannya.

“Kami percaya suspek bertindak masuk ke dalam rumah itu untuk mencuri tetapi tidak sempat apabila disedari pemilik rumah iaitu mangsa dan suspek terus bertindak mencederakannya sebelum lari menyelamatkan diri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beng Yeow berkata, bagaimanapun, mangsa yang merupakan lelaki berusia 51 tahun hanya cedera ringan dan telah mendapat rawatan.

Susulan itu, katanya, senjata yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa turut ditemui ketika penahanan ke atas suspek dibuat iaitu beberapa jam selepas kejadian.

"Ketika ditahan, polis merampas sebuah motosikal jenis Suzuki 125 miliknya dan kunci kenderaan itu serta menemui sebilah parang panjang,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah berkaitan dadah dan pecah rumah.

Artikel Berkaitan:

Suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan penglibatan suspek dalam kes-kes jenayah lain di kawasan Kulai.