Pindaan RUU racun tangguh untuk libat urus pihak berkepentingan

Dzulkefly Ahmad
Dzulkefly Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bacaan kedua dan ketiga bagi Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2019 yang dijadual di Dewan Rakyat hari ini, ditangguhkan ke sesi persidangan akan datang bagi mendapat lebih banyak pandangan daripada pihak berkepentingan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan pemegang taruh dan pihak berkepentingan dalam menambah baik Rang Undang-undang itu.

“Penangguhan itu adalah untuk saya dengari pandangan-pandangan mereka supaya kami dapat bersama akhirnya dan meletakkan segalanya dengan lebih baik.

“Justeru itu saya akan memanggil libat urus daripada semua pihak ini dalam waktu yang kami rancang kemudian. Ini adalah sejajar dengan apa yang saya sebutkan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Rang Undang-undang itu yang dibentang untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat 25 Nov lepas, antara lain memperkenalkan peruntukan baharu yang mewajibkan pengamal perubatan berdaftar untuk mengeluarkan preskripsi jika diminta oleh pesakitnya.

Ia bagi memastikan hak pesakit dijamin dengan diberi pilihan setelah selesai sesi konsultasi untuk menentukan tempat mendapatkan bekalan ubat bagi rawatannya sama ada di fasiliti perubatan itu sendiri atau di sebuah farmasi luar. - Bernama

Artikel Berkaitan: