X

Kindly register in order to view this article
!

Kantoi bawa wang tunai RM1.425 juta dalam but kereta

Wan Nor (dua dari kiri) menunjukkan bahagian but kereta yang digunakan untuk meletakkan wang.
A
A

PADANG BESAR - Hasrat dua warga Thailand yang mahu bercuti ke Genting Highlands Selasa lalu tidak kesampaian apabila ditahan kerana memiliki wang tunai berjumlah RM1.425 juta.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis, Wan Nor Wan Mamat berkata, anggota Unit Khas Pemeriksaan Penumpang dan Cawangan Penguatkuasaan Padang Besar menahan dua wanita itu bersama seorang lelaki yang dipercayai pemandu pada jam 3.40 petang di laluan kereta Kompleks ICQs Padang Besar.

Katanya, kesemua mereka berusia 22 hingga 32 tahun datang dari arah Bangkok dan memasuki negara ini secara sah.

"Siasatan awal polis diberitahu jumlah wang yang dibawa cuma RM40,000 namun selepas diperiksa jumlah berkenaan melebihi had yang dibenarkan," katanya.

Menurut Wan Nor, wang berkenaan diletakkan dalam dua beg galas yang dilindungi dengan pakaian pada bahagian but kereta jenis Toyota Yaris.

"Siasatan juga awal mendapati wanita berkenaan menguruskan syarikat bekalan barang penerbangan.

"Ketiga-tiga mereka kini direman," katanya ketika sidang akhbar di Pejabat Kastam Padang Besar, hari ini.

Wan Nor (ketiga dari kanan) menunjukkan bungkusan beg yang mengandungi wang.
Wan Nor (ketiga dari kanan) menunjukkan bungkusan beg yang mengandungi wang.

Tambah Wan Nor, kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 (Akta 235).

Menurutnya, kes itu juga akan disiasat oleh Unit Siasatan Pengubahan Wang Haram Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia atas kesalahan pelanggaran seksyen 28B(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum bawah Seksyen 28B (3) Akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau keduanya sekali," katanya.

Katanya, JKDM pernah merampas wang tunai berjumlah RM400,000 tahun lalu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!