Polis Marin Sabah rampas rokok bernilai lebih RM500,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU – Pasukan Polis Marin (PPM) Sabah berjaya merampas sebanyak 42,000 bungkus rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM543,920 di pesisir pantai muara Sungai Kinarut kira-kira jam 10.15 malam tadi.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 ACP Mohamad Pajeri Ali berkata Unit Gempur Marin (UNGERIN) pasukan itu bersama pasukan Polis Marin Kota Kinabalu telah membuat pemantauan sekitar pantai Kinarut dalam satu Operasi Khas.

Beliau berkata berpandukan maklumat daripada Unit Risik Marin (URM) telah mengesan dan menjumpai longgokan bungkusan plastik hitam serta kotak yang disembunyikan di kawasan semak pesisir pantai muara sungai itu.

“Lokasi tersebut dipercayai sebagai tempat pemunggahan (rokok) dan transaksi sebelum diedarkan. Sindiket ini disyaki tidak menggunakan jalan laut disebabkan kekangan dan penguatkuasaan berterusan oleh pihak berkuasa di laut selain kawasan tersebut agak cetek serta berbatu,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mohamad Pajeri berkata antara jenama rokok itu ialah astro black gold, astro filter king, era premium dan gudang baru menthol yang dipercayai diseludup dari Lawas menggunakan jalan darat untuk dipasarkan di sekitar daerah Papar dan Kota Kinabalu.

Beliau berkata rokok berkenaan dibawa ke markas operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana dengan disedarinya melindungi, menyembunyi dan menyimpan apa-apa barang tidak berkastam atau barang larangan. - Bernama

Artikel Berkaitan: