'Abang Nassier ada mohon maaf, tak sangka itu petanda dia mahu pergi'

Isteri, Datin Fatimah Abd Rauf, 56 (tengah) menyiram air mawar di pusara suaminya, Allahyarham Datuk Nassier Wahab 57, selepas pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Bukit Batu Belah, Klang, hari ini. (Gambar kecil: Fatimah Abdul Rauf) - Foto Bernama
Isteri, Datin Fatimah Abd Rauf, 56 (tengah) menyiram air mawar di pusara suaminya, Allahyarham Datuk Nassier Wahab 57, selepas pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Bukit Batu Belah, Klang, hari ini. (Gambar kecil: Fatimah Abdul Rauf) - Foto Bernama
A
A
A

ISTERI Allahyarham Datuk Nassier Wahab tidak menyangka permohonan maaf yang dibuat suaminya Selasa lalu menjadi petanda dia akan pergi buat selamanya.

Datin Fatimah Abdul Rauf, 56, berkata Allahyarham sebelum itu dibawa ke klinik bagi menjalani pemeriksaan bulanan tetapi doktor mengarahkannya membuat ujian darah.

Katanya, doktor kemudiannya merujuk Nassier ke hospital bagi rawatan menambah darah kerana bacaan hemoglobinnya rendah.

"Abang Nassier meminta maaf kepada saya jika dia ada melakukan kesalahan.

"Ketika itu saya tidak menyangka dia akan pergi meninggalkan kami kerana selepas dia sakit sejak setahun lalu, ada dua tiga kali abang Nassier dimasukkan ke wad untuk tambah darah," katanya ketika ditemui selepas selesai pengebumian Nassier semalam.

Tambah Fatimah, dia dan anak reda dengan pemergian Allahyarham dan turut mengucapkan terima kasih serta memohon maaf bagi pihak suaminya jika ada kesalahan yang dilakukan.

"Sudah tiba masanya (meninggal dunia) dan sebagai orang Islam kita kena terima, reda dengan ketentuan ALLAH SWT," katanya.

Nassier menghembuskan nafas terakhir Pusat Pakar Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya kira-kira jam 12.45 pagi akibat kanser gusi yang dihidapinya.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham sebelum itu pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri akibat kanser gusi yang dihidapinya pada 1 Jun lalu.

Jenazah seterusnya di bawa ke Masjid Sirajuddin Al Anuar, Klang untuk di mandi dan dikafankan serta selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Belah kira-kira jam 11.30 pagi.

Antara rakan artis yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Datuk Seri Shah Rezza, Datuk DJ Dave, Datuk Nash, Rohana Jalil, Ezad Lazim, Razis Ismail, Zarul Husin, Zaiton Sameon, Ramlah Ram dan Acong.

Fatimah memberitahu, dia berada di sisi Allahyarham sebelum suaminya menghembuskan nafas terakhir.

"Kira-kira jam 11 malam, jururawat datang memeriksa keadaan arwah dan dia demam. Selepas makan panadol, dia tidur. Tapi sejam kemudian dia batuk dan saya perasan ada kesan darah di bantal.

"Apabila buka lampu, arwah terus muntah darah yang banyak. Selepas itu, pegawai perubatan melakukan rawatan termasuk melakukan bantuan pernafasan tetapi arwah tidak memberi respon selepas 45 minit. Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 12.45 malam," katanya.

Nassier meninggalkan seorang puteri Intan Najihah, 22 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi Nassier Wahab meninggal dunia