Wang percuma tak selesaikan masalah kemiskinan nelayan, petani

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) bersalaman bersama warga peladang, penternak dan nelayan negeri ini ketika hadir pada majlis ramah mesra bersama warga tani di Dewan Majlis Daerah Marang, hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) bersalaman bersama warga peladang, penternak dan nelayan negeri ini ketika hadir pada majlis ramah mesra bersama warga tani di Dewan Majlis Daerah Marang, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MARANG - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan bantuan dan wang percuma bukanlah penyelesaian dalam membantu atasi kemiskinan di kalangan nelayan dan petani.

Sebaliknya, beliau berkata golongan itu perlu berusaha dan mengambil pendekatan yang berubah daripada cara tradisi, supaya mampu bersaing serta menjana pendapatan lumayan.

"Kerajaan akan tukar cara... jadi rakyat juga perlu tukar (cara) untuk atasi masalah kemiskinan dalam negara.

“Kita tidak boleh bergantung kepada pemberian wang percuma, tetapi perlu tambah pengeluaran untuk tingkat pendapatan," katanya ketika berucap di majlis bersama nelayan dan petani di Dewan Majlis Daerah Marang, di sini.

Turut hadir Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.

Dr Mahathir berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga kini giat berusaha melakukan transformasi dalam bidang pertanian sepertimana negara lain.

Dengan mengambil contoh negara China, beliau berkata walaupun penduduk di negara itu seramai 1.4 bilion, namun mereka dapat memenuhi keperluan dalam negara mereka tanpa bantuan luar, berbanding dengan negara ini walaupun hanya mempunyai populasi seramai 32 juta tetapi terpaksa mengimport bekalan makanan dari negara luar.

"Sesebuah negara perlu mampu membekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus keperluan bekalan makanan dari punca dalam negara. Tanah kita masih luas tetapi kita masih perlu mendapatkan makanan daripada luar seperti sayur sayuran sedangkan kita boleh keluarkan semua ini dengan sendiri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Di hadapan hampir 1,000 golongan petani dan nelayan, Dr Mahathir sempat mencadangkan agar mereka bukan sahaja mempelbagaikan jenis tanaman tetapi juga perlu bersepakat menggabungkan tanah mereka agar lebih luas bagi memaksimakan pengeluaran.

Selain itu katanya, golongan nelayan perlu selari dengan arus perubahan bidang itu dengan menggunakan bot laut dalam dan menyediakan peti sejuk beku agar mampu berada lama di laut serta mendapatkan lebih banyak hasil tangkapan.

Sementara itu ketika ditemui pemberita selepas majlis itu dan ditanya berhubung pembayaran royalti petroleum, Dr Mahathir berkata ia akan dibayar seperti yang diterima oleh negeri-negeri lain seperti Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Bagaimana pun beliau tidak menjelaskan berapa amaun dan bila pembayaran akan dibuat kepada kerajaan Terengganu.

"Kita dah buat keputusan royalti (petroleum). Ia akan kita bagi sama (dengan negeri pengeluar minyak) .. mengenai baki bayaran kalau ada (duit) kita bagi lah," katanya.- Bernama