Rohana Yusof wanita pertama dilantik Presiden Mahkamah Rayuan

Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan suratcara pelantikan kepada Rohana pada majlis Istiadat Mengadap dan Pengurniaan Suratcara Pelantikan Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi di Istana Negara hari ini.
 FOTO: BERNAMA
Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan suratcara pelantikan kepada Rohana pada majlis Istiadat Mengadap dan Pengurniaan Suratcara Pelantikan Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi di Istana Negara hari ini.
 FOTO: BERNAMA
A
A
A

SHAH ALAM - Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rohana Yusof melakar sejarah institusi kehakiman negara ini apabila beliau menjadi wanita pertama dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Selain itu buat julung kalinya dalam sejarah kehakiman negara, tiga wanita sekali gus dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Mereka adalah Datuk Zaleha Yusof, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hasnah Mohammed Hasim dengan ketiga-tiga wanita itu sebelum ini adalah Hakim Mahkamah Rayuan.

Terdahulu, mereka menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Shah di Istana Negara hari ini.

Dengan perkembangan itu, terdapat enam hakim wanita berada di Mahkamah Persekutuan termasuk Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tengku Mat dan Hakim Datuk Nallini Pathmanathan.

Sejarah wanita dalam badan kehakiman negara bukan satu perkara yang baharu apabila Tengku Maimun sendiri juga merupakan wanita pertama yang dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.

Malah sebelum ini, Tan Sri Norma Yaakob dan Tan Sri Zaharah Ibrahim masing-masing merupakan wanita pertama dan kedua yang pernah dilantik sebagai Hakim Besar Malaya.

Buat masa ini, terdapat 13 Hakim Mahkamah Persekutuan termasuk Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak dengan tujuh daripadanya terdiri daripada lelaki.

Artikel Berkaitan:

Menurut Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Persekutuan hendaklah terdiri daripada Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak dan hakim-hakim lain dengan keanggotaannya tidak melebihi 15 orang.