Hubungan bilateral Malaysia-Singapura diuji pada 2018

Malaysia-Singapura
Malaysia-Singapura
A
A
A

SINGAPURA - Tahun lepas merupakan tempoh yang mencabar apabila hubungan dua hala Singapura dengan jiran terdekat “diuji”, demikian Peguam Negara Singapura Lucien Wong dilaporkan berkata oleh Channel NewsAsia hari ini.

“Sebagai sebuah negara kecil, Singapura tidak terkecuali daripada perubahan politik yang berlaku di negara-negara tetangga khususnya Malaysia,” katanya dipetik berkata pada Pembukaan Tahun Perundangan 2019.

Selain pertelingkahan Pedra Branca (Pulau Batu Putih) yang berakhir dengan Malaysia menarik balik permohonan dua minggu sebelum perbicaraan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, “pertukaran kerajaan Malaysia memberi impak besar terhadap projek yang melibatkan Malaysia dan Singapura seperti Rel Berkelajuan Tinggi,” katanya.

“Pegawai-pegawai kami sentiasa bersedia menasihati kerajaan berhubung isu ini, memberikan sokongan kepada kumpulan-kumpulan perunding,” kata Wong.

Keputusannya adalah positif dan seimbang, katanya menambah perundingan tersebut menghasilkan penyelesaian yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua negara.

Laporan dalam talian menyatakan Pejabat Peguam Negara (AGC) turut membantu kerajaan dalam isu-isu lain yang membabitkan kedua-dua negara termasuk peluasan pelabuhan Johor yang didakwa menceroboh perairan Singapura, pengurusan ruang udara di selatan Johor serta semakan semula harga air menurut Perjanjian Air 1962 dengan Malaysia.

Pengurusan hubungan rentas sempadan ini merupakan perkara utama dalam kerja AGC tahun lepas, katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: