Keuntungan pelaburan SSPN meningkat 25.9 peratus

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) telah memperoleh keuntungan pelaburan terkumpul berjumlah RM151.50 juta iaitu peningkatan sebanyak 25.9 peratus setakat suku ketiga tahun ini.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam kenyataan berkata, prestasi itu meningkat berbanding RM120.33 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam pada itu, jumlah deposit SSPN pula adalah sebanyak RM581.83 juta berbanding RM486.92 juta tahun lepas bagi rekod pencapaian dalam sembilan bulan pertama tahun ini.

“Angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM94.91 juta atau 19.5 peratus sekali gus menjadikan deposit SSPN terkumpul keseluruhan sehingga September lepas berjumlah RM4.65 juta,” menurut kenyataan itu.

Ia turut menyebut bahawa PTPTN mengunjurkan jumlah deposit bagi tahun ini adalah sebanyak RM1.30 bilion berbanding RM1.13 bilion pada tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 15 peratus.

Unjuran itu adalah berasaskan kepada pencapaian positif yang dipacu menerusi langkah berterusan promosi galakan penabungan yang dilaksanakan sepanjang tahun di seluruh negara seperti Program Jelajah SSPN, Minggu Menabung dan Gerak Gempur Skim Simpanan (2G2S).

Di samping itu, ia juga disumbangkan oleh kenaikan jumlah insentif pelepasan taksiran cukai dari RM6,000 kepada RM8,000 seperti yang diumumkan dalam Bajet 2019.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 347,709 akaun baharu SSPN telah dibuka sehingga 30 September lepas dan dijangka terus meningkat sehingga hujung tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Secara keseluruhan, sehingga akhir suku ketiga 2019, sebanyak 4.26 juta akaun SSPN telah dibuka sejak dilancarkan pada tahun 2014.

Sementara itu, Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan menyeru semua pihak mengambil manfaat daripada skim SSPN terutama dalam bulan terakhir tahun ini.

"Insentif yang kita berikan sukar ditandingi oleh mana-mana entiti lain, seperti pelepasan cukai pendapatan bagi RM8,000 pertama yang disimpan dan juga hadiah-hadiah lumayan yang kita tawarkan melalui cabutan berkala khusus untuk para pendeposit," katanya dalam kenyataan.

Katanya, pencapaian yang baik ini menandakan bahawa penekanan yang diberikan kepada penabungan SSPN sepanjang 2019 telah berhasil.

"Keuntungan SSPN itu akan dikongsikan dengan para pendeposit dalam bentuk dividen yang akan diumumkan pada awal tahun hadapan," katanya.

Pada tahun 2018, PTPTN telah berjaya mengagihkan dividen SSPN pada kadar empat peratus kepada 3.52 juta akaun melibatkan peruntukan berjumlah RM118.61 juta.

Berdasarkan kepada prestasi tahun semasa, PTPTN menjangkakan dapat meningkatkan atau sekurang-kurangnya mengekalkan kadar pemberian dividen itu. - Bernama