X

Kindly register in order to view this article
!

[VIDEO] Gadis ajak pelajari bahasa isyarat hargai OKU

Paparan Twitter Nursyafika tular di laman sosial.
A
A

KLANG - Perbualan seorang gadis bersama lelaki orang kurang upaya (OKU) menggunakan bahasa isyarat menjadi bualan netizen di laman sosial.

Rata-rata mereka teruja untuk mempelajari bahasa isyarat setelah melihat aksi, Nursyafika Ezati [email protected] mahir menggunakan tangan ketika menemu bual seorang bisu dan pekak dikenali sebagai Abidillah.

Gadis usia 21 tahun itu bertemu dengan Abidillah, 45, ketika menyertai legasi debat Bahasa Melayu di bawah program University Community Engagement (UCE) di Bengkel Daya Klang (BDK) Selangor.

Nursyafika berkata, Abidillah menetap di DBK sejak 2005 dan dia penghuni tunggal yang tidak boleh bertutur dan mendengar.

"Masa mula-mula sampai, saya perasan pak cik Abidillah komunikasi dengan kawannya menggunakan bahasa isyarat. Saya memang nak berbual dengan dia dari awal tetapi kekangan masa.

"BDK adalah pusat menempatkan golongan OKU untuk mempelajari hidup berdikari. Pada masa sama mereka digalakkan untuk bekerja bagi menjana pendapatan. Penghuni di sini tinggal di asrama yang disediakan oleh BDK," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sejurus tamat program itu, kata bakal pereka fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, dia terus menghampiri Abidillah untuk beramah mesra.

Nursyafika (kanan) bersama ahli keluarganya.
Nursyafika (kanan) bersama ahli keluarganya.

"Setelah program selesai, ada penyampaian hadiah bagi setiap kumpulan dan sesi bergambar, pada mulanya pak cik Abidillah tak mahu sertai sebab dia rasa dirinya tidak menyumbang dalam kumpulan tersebut tapi saya bertegur sapa dan dia menceritakan latar belakang dirinya.

"Sangat menyentuh hati walaupun dia kurang upaya tetapi dia tekad untuk bekerja demi menyara hidupnya," katanya.

Ketika ditanya dari mana dia mempelajari bahasa isyarat, Nursyafika mendedahkan, kakak sulungnya juga seorang OKU, bisu dan pekak.

"Saya tahu menggunakan bahasa isyarat kerana kakak saya tidak boleh bercakap, jadi dari situ saya belajar bahasa isyarat untuk faham dan berkomunikasi. Ia salah satu alternatif saya untuk memahami apa yang kakak cakap.

"Waktu kakak saya masuk sekolah rendah (khas), cikgu sekolah ada bagi buku bahasa isyarat untuk belajar. Perkataan-perkataan baharu yang saya tak tahu, saya akan rujuk kepada kakak saya," katanya merupakan anak kedua daripada lima beradik.

Dalam pada itu, gadis tersebut urut menolak persepsi pihak tertentu bahawa bahasa isyarat bukanlah keutamaan untuk dipelajari oleh mereka yang normal kerana beranggapan ia memberi manfaat besar kepada komuniti OKU pendengaran dan bisu.

"Bahasa isyarat amat penting, walau kita tahu beberapa pergerakan tangan, badan, bibir untuk menyampaikan maklumat itu sudah memadai.

"Kebanyakan OKU kurang keyakinan diri berhadapan dengan masyarakat. Mungkin dengan cara pelajari bahasa isyarat dapat membuka minda segelintir yang memandang serong atau malu sekiranya mempunyai ahli keluarga OKU.

"Menerusi bahasa isyarat juga, kita boleh tahu apa yang mereka ingin sampaikan atau pun pendam selama ini," ujarnya.

Sebelum ini, video berdurasi 14 saat memaparkan Nursyafika bertutur guna bahasa isyarat dengan OKU itu kini meraih lebih 217,200 tontonan dan lebih 10,100 ciapan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!