Wanita didakwa kes 'pukau'

Tertuduh diiring polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini.
Tertuduh diiring polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang wanita yang disyaki menipu dengan menggunakan teknik pukau dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas tiga pertuduhan mencuri dan menyimpan harta curi bulan lalu.

Tertuduh Siti Rohani Ahmad, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di Mahkamah Majistret berasingan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh pada 27 November 2019, jam lebih kurang 5.30 petang di dalam bangunan KM Plaza di sini, telah mencuri telefon bimbit jenis Samsung Galaxy A 10S milik Nur Haszrin Mohd Hasrol, 14.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan, tertuduh pada 28 November 2019, jam lebih kurang 7 petang di sebuah kedai makan di Terminal One Seremban secara tidak jujur menyimpan harta curi iaitu telefon bimbit milik Nur Haszrin Mohd Hasrol, 14.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Majistret Mahyun Yusof menetapkan jaminan RM3,000 bagi kedua pertuduhan dan sebutan semula kes 17 Disember ini.

Di Mahkamah Majistret berasingan, tertuduh pada 26 November 2019 lebih kurang jam 9.15 pagi di dalam pusat beli belah Palm Mall di sini, telah mengambil seutas gelang emas milik Azizah Othman, 63.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda serta boleh dipenjara, denda atau sebat bagi kesalahan kali kedua.

Majistret V Vanita menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes 30 Disember ini.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan polis berjaya menahan seorang wanita disyaki terlibat dengan kes tipu menggunakan teknik pukau susulan aduan daripada dua mangsa di daerah ini minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Ahmad Said Ibarahim berkata, wanita berusia 37 tahun itu ditahan di Terminal One di sini, ketika mahu menaiki bas ke Pulau Pinang.