Wujudkan kemahiran bersifat kemanusiaan

No Image Caption
A
A
A

MESKIPUN penggunaan mesin robotik dan kecerdasan buatan (AI) masih belum meningkat secara drastik di Malaysia menjelang 2030 nanti, namun semuanya diramalkan bakal berubah.

Itu pandangan Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff ketika diminta mengulas mengenai peralihan teknologi masa hadapan terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Menurutnya, tidak mustahil akan ada lebih banyak perusahaan menggunakan teknologi mesin robotik. Apa lagi kerajaan turut menggalakkan pelbagai usaha ke arah mendepani revolusi industri 4.0 (IR 4.0).

“Mungkin apabila berlakunya perubahan itu, kesannya terhadap rakyat tempatan pada mulanya adalah minimum kerana mesin robotik tersebut terlebih dahulu akan menggantikan pekerja asing yang ketika ini membanjiri sektor terbabit.

“Bahkan, rakyat tempatan yang bekerja menggunakan kemahiran tahap rendah akan terkesan dan boleh kehilangan pekerjaan jika mereka tidak berusaha meningkatkan kemahiran lebih tinggi,” katanya.

AHMED RAZMAN ABDUL LATIFF
AHMED RAZMAN ABDUL LATIFF

Tidak dinafikan katanya, kemajuan teknologi robotik yang semakin berkembang seluruh dunia pastinya akan membuka lebih banyak peluang perniagaan dan industri baharu melibatkan pengendali droid.

“Tenaga mahir tempatan perlu dipertingkatkan bagi menjamin masa depan yang lebih cerah seiring kemajuan teknologi selain kerajaan memainkan peranan penting dalam agenda memperkasakan pekerja terlatih.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, kerajaan harus memastikan pelaksanaan dasar atau polisi untuk meningkatkan kemahiran berkaitan revolusi perindustrian keempat selain menggalakkan sektor berteraskan IR 4.0 termasuk pembangunan dan penyelenggaraan mesin robotik,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Aero Angkasa Universiti Putra Malaysia, Dr Ezanee Gires berpandangan, ledakan senario penggunaan mesin robotik di Malaysia masih dalam fasa awal.

“Kita boleh melihat teknologi automasi dalam pelbagai bidang seperti perincian (software), pembuatan dan penyelenggaraan,bagaimanapun penggunaannya masih terhad.

“Setakat ini, keperluan tenaga kerja masih penting walaupun teknologi automasi adalah realiti masa kini. Kita perlu memahami bahawa AI memerlukan input daripada manusia,” jelasnya.

Mengambil satu contoh katanya, kemalangan yang meragut nyawa pejalan kaki semasa ujian tanpa pemandu oleh syarikat Uber di Amerika Syarikat boleh dielakkan jika dikendalikan pemandu manusia dan mengambil alih pemanduan daripada sistem AI kereta tersebut.

“Bagaimanapun, proses pengaturcaraan (programming) sistem AI sebelum ujian jalan raya sebenarnya sudah mengambil kira faktor pejalan kaki dengan lebih wajar.

“Pengaturcaraan adalah tugas manusia pada tahap terawal bagi sesuatu program dan pemantauan sangat penting terutamanya jika nyawa boleh terjejas dalam operasi mesin berautomat,” ujarnya.

EZANEE GIRES
EZANEE GIRES

Selain itu katanya, pemantauan oleh pekerja manusia masih diperlukan terutamanya dalam bidang pemeriksaan industri pemprosesan bahan dan fabrik.

“Pembelajaran mesin (machine learning) boleh dilatih untuk mengenal pasti kelemahan atau kecacatan komponen tetapi pemantauan oleh tenaga manusia masih diperlukan untuk mengelakkan pelaporan palsu.

“Memang tidak dinafikan bahawa pekerjaan yang berautomat menjadi pilihan syarikat-syarikat dalam sistem kapitalisme. Tetapi diingatkan bahawa kelebihan manusia berbanding AI dan mesin ialah keupayaan untuk mempelajari dan berlatih bidang-bidang baharu,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan melalui Bajet 2020 akan melancarkan inisiatif program untuk melatih tenaga kerja tempatan seperti ‘Malaysians@Work’ bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.

“Apa yang perlu dilihat nanti ialah peluang pekerjaan lebih memerlukan daya pemikiran dan kreativiti manusia susulan penggunaan teknologi automasi untuk pekerjaan lebih kasar (menial labor).

“Justeru, kerajaan perlu mewujudkan pekerjaan yang memerlukan kemahiran lebih bersifat kemanusiaan. Kos untuk memperbaiki dan memperoleh teknologi baharu akan menurun seiring perkembangan masa depan walaupun pada awalnya mahal,” ujarnya.