Siapa Pengerusi PKR Perak yang baharu?

pkr
pkr
A
A
A

PROSES pemilihan PKR di Perak berlangsung dengan jaya pada 27 Oktober lalu tanpa sebarang kekecohan biarpun ditangguh beberapa minggu dari tarikh asal.

Keputusan di Perak menyaksikan kem Rafizi Ramli memenangi undi bagi jawatan Timbalan Presiden mengatasi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pada masa sama, keputusan pemilihan di peringkat cabang juga dilihat menarik dan mengejutkan apabila ramai muka-muka baharu yang menang.

Daripada 24 cabang, hanya sembilan cabang mengekalkan ketua sedia ada manakala selebihnya memilih ketua baharu.

Apa yang mengejutkan pada pemilihan di peringkat cabang kali ini, beberapa nama besar pimpinan negeri turut kecundang antaranya Ketua Penerangan PKR Perak yang juga Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail yang tewas dalam perebutan jawatan sebagai Ketua PKR Cabang Tapah dengan 259 undi berbanding Mohamed Zubir Nor yang menang dengan 303 undi.

Begitu juga dengan Naib Pengerusi PKR Perak, Laksama (B) Mohamad Imran Abd Hamid yang turut tewas di Cabang Lumut dengan sekadar memperoleh 238 undi dalam pertembungan empat penjuru.

Disebalik keputusan Pengerusi PKR Perak, Datuk Dr Muhammad Nur Manuty yang mengambil keputusan untuk tidak bertanding mana-mana jawatan dalam pemilihan lalu, sudah pastilah Perak bakal mendapat pengerusi baharu.

Namun, menjadi persoalan siapakah bakal menggantikan Muhammad Nur? Adakah inidvidu tersebut daripada barisan kepimpinan yang sedia ada atau akan ada individu di luar kepimpinan negeri tetapi dalam kalangan ketua-ketua cabang yang baharu?

Artikel Berkaitan:

Pasca PRU14, PKR Perak dilihat memerlukan seorang ketua yang betul-betul berperanan untuk memastikan mereka lebih kuat dan disegani rakan-rakan komponen dalam PH.

Sebelum ini, Mohamad Imran disebut-sebut sebagai pengganti Muhammad Nur tetapi disebabkan kekalahan pada pemilihan lalu, ia menipiskan peluang untuk dilantik ke jawatan itu.

Jika berdasarkan hierarki Majlis Pimpinan PKR negeri sebelum ini, Boon Chye antara nama yang boleh diketengahkan memandangkan Timbalan Menteri Kesihatan itu sebelum ini merupakan Timbalan Pengerusi negeri.

Selain itu, Setiausaha PKR Perak, Abdul Yunus Jamhari juga mempunyai peluang kerana beliau antara wakil rakyat PKR yang paling lama di Perak selain beliau merupakan exco kerajaan negeri.

Dalam pada itu PKR juga dilihat perlu memikirkan nama-nama baharu yang lebih segar terdiri dalam kalangan ketua-ketua cabang yang menang ini.

Apa yang menarik perhatian di sebalik ketua-ketua cabang baharu, terdapat dalam kalangan mereka yang merupakan 'orang lama' dalam PKR antaranya Ketua PKR Cabang Parit, Mohamad Anuar Zakaria yang pernah menjadi Setiausaha PKR Perak pada tahun 2009-2016, begitu juga Ketua PKR Cabang Lumut, Jamahari Abu Bakar yang pernah menjadi ahli Jawatankuasa PKR Perak.

Namun, satu nama yang mencuri tumpuan adalah Ketua PKR Cabang Kuala Kangsar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang merupakan Pegawai Politik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kehadiran Farhash Wafa Salvador ke Perak dilihat seolah-olah satu signal yang memungkinkan beliau dilantik sebagai Pengerusi PKR yang baharu.

Apa yang pasti, sesiapa pun dilantik sebagai pengerusi nanti, dia akan berdepan tugas berat menyusun kembali perancangan ke arah PRU15.

PRU14 menyaksikan PKR kehilangan banyak kerusi yang diwakili kerana memberi ruang kepada wakil Bersatu bertanding di bawah PH.

PKR Perak dilihat terlalu bertoleransi dalam pembahagian kerusi pada PRU yang lalu sehingga terpaksa berputih mata dengan sekadar menang di empat kerusi Dun sahaja iaitu Kuala Kurau, Teja, Simpang Pulai dan Hulu Kinta sekaligus mengecilkan peluang mencalonkan nama sebagai Menteri Besar Perak.

Jika tidak, masakan ketua-ketua Cabang sebelum ini mengadakan sidang media membantah keputusan pimpinan menyerahkan kerusi kepada Bersatu yang akhirnya membawa kepada tindakan disiplin menggantung keahlian mereka.

Kesilapan tersebut harus ditebus dengan mengembalikan semula kerusi-kerusi milik PKR untuk ditandingi pada PRU seterusnya untuk memastikan parti itu lebih kuat dan dominan.