Bogel bukan cara tarik pelancong

No Image Caption
A
A
A

MACAM tidak ada cara lain, sesetengah pihak masih percaya bahawa aksi dan peragaan separuh bogel dapat membantu pertumbuhan ekonomi.

Sebab itu, model separuh bogel dibenarkan memperaga tubuh pada International Tattoo Convention di Kuala Lumpur Convention Centre pada 29 November hingga 1 Disember baru-baru ini.

Kata penganjurnya, MyCEB, acara Tattoo Malaysia Expo 2019 yang disertai sebanyak 35 negara itu boleh meningkatkan ekonomi dan menggalakkan industri pelancongan negara. Berbogel-bogel untuk menarik pelancong dan merangsang ekonomi? Hanya orang mabuk ketum percaya teori ekonomi baru seperti itu!

Tolak pelancong, tolak ekonomi, tatu separuh bogel tidak sesuai di tempat kita. Tidak kira untuk seni atau lain-lain matlamat, berbogel bukan budaya kita, bercanggah pula dengan Islam sebagai agama rasmi.

Tidak pasti apakah pelancong berduyun-duyun ke sini hanya untuk melihat tatu bogel. Belum juga terbukti setakat semalam, peragaan separuh bogel itu telah melonjakkan indeks Bursa Malaysia.

Apa yang jelas model tatu separuh bogel yang tular di media sosial itu telah membangkitkan kemarahan umum. Semua ingin tahu mengapa dibenarkan perkara mengaibkan seperti itu. Semua orang tahu industri pelancongan kita selama ini disemarakkan oleh produk semula jadi yang memang ada di tempat kita - keindahan alam, harmoni kaum, keramahtamahan, membeli-belah, pelbagai budaya dan lain-lain. Kita tidak penah dikenali dan diingati dengan persembahan bogel. Sekiranya pelancong suka kepada bogel-bogel, carilah di tempat lain, bukan di Malaysia.

Kita jangan hilang arah dan suka cari jalan pintas, kononnya menarik pelancong. Kita patut megah dengan cara kita selama ini. Kita memang menolak acara-acara bogel. Jangan benarkan acara murahan lagi lucah itu atas alasan menarik pelancong, lebih-lebih lagi untuk merancakkan ekonomi. Jangan mabuk ketum.

Sensitiviti

Artikel Berkaitan:

Budayawan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim kesal pihak berkuasa boleh terlepas pandang acara yang jelas menjolok mata dan mempersenda sensitiviti agama seperti itu.

Katanya, penganjuran berkenaan secara keseluruhannya memberikan gambaran seolah-olah sudah tiada garis panduan, khususnya yang melibatkan warisan budaya negara.

Tegas mantan menteri itu: “Perimbangan harus dibuat pihak berkuasa kementerian menarik pelancongan ala Malaysia yang menghormati budaya tempatan yang dikongkong atau ditentukan sosio-budaya dan nilai-nilai pelbagai kaum.”

Rais mempersoal ke mana hilangnya garis panduan pertunjukan awam yang diluluskan Kabinet pada 2010 dan 2012 lalu? Kita ada sekian banyak garis panduan. RTM ada garis panduan untuk artis-artis yang hendak membuat persembahan. Jakim pun ada garis panduan tetapi kerap pula garis panduan yang baik itu terabai atau sengaja diabaikan.

Pihak penganjur menjelaskan semua peraturan dan kelulusan telah diperoleh daripada pihak berkuasa tetapi Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi menegaskan kementerian tidak memberi kelulusan acara tersebut.

“Tidak mungkin kita luluskan permohonan untuk acara yang mengandungi unsur lucah seperti itu, itu bukan budaya kita,” kata beliau.

Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf juga kesal kerana ada pihak tertentu sengaja mengkontroversikan isu tatu separuh bogel itu untuk memburuk-burukkan kerajaan sekarang.

“Mereka sengaja hendak menunjukkan seolah-olah kita tidak memperjuangkan Islam,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Baik Mohamaddin mahupun Mujahid atau mana-mana menteri, boleh sahaja memberi alasan dan berasa kesal atas apa yang telah terjadi.

Persoalannya, kalau semua pihak tidak tahu, siapa sebenarnya yang bertanggungjawab meluluskan atau membiarkan program seperti tatu separuh bogel itu dibuat secara terbuka. Apa yang jelas, dalam isu ini adalah pihak berkuasa sepatutnya memperinci setiap permohonan untuk satu-satu penganjuran.

Pastikan apa isinya, siapa pelaku dan pesta terlibat, bagaimana iklan dan promosinya. Apakah semua syarat dan garis panduan telah dipatuhi.

Semua pihak tidak boleh kata mereka tidak tahu dan lepas tangan apabila perkara seperti ini terjadi. Mesti ada pengawalan sejak awal.

Pelik, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya kata tidak ada kelulusan. Menteri Agama kata tidak ada kebenaran tetapi acara tatu bogel berlangsung tanpa sebarang halangan. Demikianlah kurang ajar dan beraninya sesetengah pihak melanggar peratu-ran kita. Masih bersabar lagikah kita?