Hamilton tak fikir rekod Schumacher

Hamilton (kiri) menyerahkan trofi kategori pengeluar kepada Pengerusi Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh dan Wan Zulkiflee Wan Ariffin (dua dari kanan) di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC di sini hari ini. Hadir sama Bottas (kanan). - Foto: Bernama
Hamilton (kiri) menyerahkan trofi kategori pengeluar kepada Pengerusi Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh dan Wan Zulkiflee Wan Ariffin (dua dari kanan) di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC di sini hari ini. Hadir sama Bottas (kanan). - Foto: Bernama
A
A
A

PEMANDU sensasi Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton tidak mahu memikirkan untuk menyamai rekod pemandu Formula Satu (F1) terbaik sepanjang zaman, Michael Schumacher pada ketika ini tetapi hanya mahu menikmati cuti Krismas bersama keluarga.

Sebaliknya, tidak terlintas dalam hati pemandu Britain berusia 34 tahun itu untuk melihat ke arah itu walaupun hanya satu gelaran sahaja memisahkan rekod tujuh gelaran yang dimiliki Schumacher.

Hamilton merangkul gelaran juara dunia buat kali keenam pada musim ini sekali gus menambah koleksi kejayaan yang diraih pada musim 2008, 2014, 2015, 2017 dan 2018.

“Secara jujur, saya tidak melihat sejauh itu (menyamai rekod Schumacher). Saya tidak ada jawapan untuk itu tetapi saya fikir apa yang sangat penting bagi diri saya ada supaya sentiasa bersyukur dengan apa yang saya miliki pada hari ini.

“Sudah tentu satu penghormatan untuk menambah koleksi gelaran tetapi dalam sukan ini anda tidak tahu bila ia akan tercapai. Mungkin tahun depan atau tahun-tahun akan mendatang. Ada orang belum memiliki satu pun (gelaran dunia)...oleh itu amat penting untuk bersyukur dengan apa yang ada.

Hamilton berswafoto bersama peminatnya di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC di sini hari ini. - Foto: Bernama
Hamilton berswafoto bersama peminatnya di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC di sini hari ini. - Foto: Bernama

”Saya tidak sabar untuk Krismas bersama keluarga serta menyambut kejayaan musim ini, “ katanya kepada pemberita di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC di sini hari ini.

Hamilton membuktikan kejaguhannya apabila merangkul kemenangan ke-84 dalam karier F1 dan ke-11 daripada 21 perlumbaan musim ini dengan menjuarai saingan penutup tirai di Grand Prix Abu Dhabi Ahad lalu.

Artikel Berkaitan:

Hamilton bersama pemandu sepasukan, Valtteri Bottas berada di sini sebagai tetamu khas sambutan Mercedes AMG Petronas muncul gelaran juara dalam kategori pengeluar F1 buat kali keenam berturut-turut musim ini.

Kedua-dua pemandu itu menyampaikan trofi tersebut kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertonas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Mercedes AMG Petronas memuktamadkan gelaran juara dalam kategori pengeluar F1 2019 pada Grand Prix Jepun, Oktober lalu. - Bernama