Bapa tunggal maut terkena renjatan elektrik

No Image Caption
A
A
A

RANTAU PANJANG - Seorang anak tidak menyangka perubahan sikap bapanya yang tiba-tiba menjadi pendiam merupakan petanda ajal apabila dia ditemui mati selepas dipercayai terkena renjatan elektrik di Kampung Tasik Permai dekat sini hari ini.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari tadi, Zulkapli Yaakub, 51, maut dipercayai terkena renjatan selepas terpegang kabel penyokong tiang elektrik ketika mahu mengambil buah nona.

Sejurus selepas itu mangsa terus rebah ke dalam air banjir yang berada pada paras 0.5 meter.

Anak sulung mangsa, Muhammad Zunaidi, 27, tanpa berselindung berkata, dua hari sebelum kejadian ayahnya berubah menjadi seorang pendiam.

“Saya sama sekali tidak menyangka perubahan sikap itu menjadi petanda dia akan pergi buat selamanya,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Pasir Mas (HPM).

Jenazah mangsa yang diusung keluar oleh anggota pasukan penyelamat terpaksa meredah air banjir sebelum dibawa ke HPM untuk tindakan lanjut menggunakan kenderaan.

Sinar Harian difahamkan kawasan tersebut ditenggelami banjir sejak beberapa hari lalu ekoran limpahan air Sungai Golok.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Roy Suhaimi Sarif ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, punca sebenar kejadian tersebut masih dalam siasatan dan menunggu laporan penuh bedah siasat.