Jangan ada sebarkan kebencian

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia digesa menghormati keputusan Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, susulan itu besar harapannya agar rakyat Malaysia tidak membuat sebarang spekulasi, dan membuat sebarang kenyataan jelek berhubung pengunduran baginda daripada kerusi itu.

Katanya, amat penting untuk rakyat Malaysia menjaga adab ketika bercakap mengenai baginda.

"Saya harap semua rakyat Malaysia menghormati keputusan Sultan Muhammad V yang juga Sultan Negeri Kelantan, apa juga yang menjadi sebab ataupun alasan bagi saya kurang penting yang perlu kita pentingkan adalah kita menjaga dari segi tatatertib dan tatasusila dan kita hormati Institusi Raja.

"Dan masa yang sama kita harapkan orang ramai tidak membuat spekulasi atau buruk sangka dan kerana ia hanya akan timbulkan salah faham dan tidak membantu kita ketika sekarang kita dalam proses menunggu pelantikan YDPA yang seterusnya," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut gesanya agar kita sama-sama berdoa akan semua proses melibatkan baginda dapat berjalan lancar.

"Kita juga perlu sentiasa doakan agar institusi Raja-raja termasuk kedudukan Sultan Muhammad V sentiasa terpelihara demi keselamatan negara dan demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Sementara itu menyentuh mengenai perbuatan sesetengah individu yang membuat kenyataan jelek terhadap bekas YDPA, Fahmi menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Bagi saya terpulang pada pihak berkuasa untuk lihat keadaan, sekiranya ada langgar undang-undang sedia ada saya rasa munasabah undang-undang diambil.

"Jika ada keperluan ambil tindakan kerana yang kita tak mahu sesiapa ambil peluang yang ada , kita tak mahu sesiapa pun menggunakan hak kebebasan bersuara sewenang-wenangnya, kebebasan tak bererti bebas tanggungjawab," katanya.

Justeru beliau menasihatkan rakyat Malaysia sentiasa berfikir dahulu sebelum memuatnaik sebarang kenyataan di media sosial.