Budayakan al-Quran dalam kehidupan mahasiswa

Hifdzi Zaim (depan, lima kiri) dan Mohamad Azlan (depan enam kiri) bersama peserta University #QuranHour.
Hifdzi Zaim (depan, lima kiri) dan Mohamad Azlan (depan enam kiri) bersama peserta University #QuranHour.
A
A
A

GOMBAK - University #QuranHour mengajak golongan mahasiswa untuk mempertingkatkan nilai dan kualiti diri melalui membaca, menghayati dan menterjemahkan al-Quran dalam kehidupan mereka.

Saranan itu disuarakan Pengarah Program, Muhammad Muzzammil Mohammed Ridzuan ketika mengetuai 400 mahasiswa menyertai program berinteraksi dengan al-Quran yang dianjurkan Kelab Jam’iyyatu Khadamatil Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama Alumni Relations Division sempena Quranic Week 4.0 di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM di sini pada 22 November lalu.

Muhammad Muzzammil berkata, program tahunan ini dapat menggalakkan golongan mahasiswa untuk berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal.

“Saya percaya University #QuranHour mampu melahirkan mahasiswa yang berjaya dalam segenap aspek jika kita meletakkan al-Quran sebagai teras dalam kehidupan. Diharapkan program tersebut diteruskan bagi menyemarakkan keindahan Islam melalui al-Quran,” katanya.

Quranic Week 4.0 yang diadakan bermula 18 September hingga 24 November 2019.

University #QuranHour ini merupakan kesinambungan dari program IIUM #QuranHour yang telah dianjurkan dalam Quranic Week 3.0 pada tahun lepas.

Pengisian University #QuranHour dimulakan dengan sesi bacaan al-Quran dan diikuti dengan sesi tadabbur yang dikendalikan oleh Jurulatih Akademi Sinergi, Ustaz Hifdzi Zaim Zamri.

Program ini memberi tumpuan kepada pembacaan dan tadabbur al-Quran dalam kehidupan mahasiswa.

Artikel Berkaitan:

Inisiatif tersebut bertujuan menggalakkan mahasiswa untuk membaca al-Quran sejam sehari agar menghidupkan budaya tersebut sebagai rutin harian dan kepentingan al-Quran dalam kehidupan mereka.

Peserta turut mendengar perkongsian usahawan Mohamad Azlan Al Amin yang menyentuh hati bertajuk 'Rezeki' dan 'al-Quran'.

Beliau yang pernah menjadi pengutip sampah kini menjadi jutawan melalui universiti kehidupan menjadi inspirasi dan aspirasi kepada mahasiswa.

Mohamad Azlan berkata, mahasiswa perlu sentiasa bersyukur, berbuat kebajikan, tidak berputus asa apabila diuji dengan kesukaran dan cabaran serta berusaha bersungguh-sungguh dalam mengejar sebuah kejayaan.

Di sebalik usaha gigih dan kejayaan yang diperolehi, peneraju syarikat Azlan Al Amin Properties Sdn Bhd ini juga berkongsi amalan yang sering dilakukannya, menjadi asbab rezekinya melimpah-ruah yang boleh dijadikan panduan dan contoh kepada mahasiswa serta masyarakat.

Antaranya, sentiasa menjaga kebajikan ibu bapa, tidak meninggalkan al-Quran walaupun sehari, istiqamah dengan amalan bersedekah, dan sentiasa mengamalkan solat sunat dhuha.

“Jadikan kemiskinan sebagai motivasi, jadikan kekayaan sebagai inspirasi. Apabila memperoleh rezeki, kita perlu bersyukur dan berbuat kebajikan dengan hidup berbakti. Kita perlu sedar keberkatan, kesempitan atau kemurahan rezeki bergantung kepada hubungan kita dengan ALLAH.

“Jika kita ada masalah hubungan dengan ALLAH, rezeki sempit. Sebagai manusia, kita tidak pernah sunyi daripada kesilapan dan kelemahan, namun ALLAH melihat bagaimana kita mengubah kesilapan dan mengatasi kelemahan itu dengan bertindak untuk menjadi lebih baik dan memperbaiki kekurangan itu agar lebih cemerlang,” katanya.