Jentera penyelenggaraan terbabas punca gangguan LRT Kelana Jaya

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan pagi ini berikutan satu jentera penyelenggaraannya tergelincir ketika kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan awal pagi tadi.

Rapid KL dalam satu kenyataan memaklumkan kerja-kerja mengeluarkan jentera berkenaan dijalankan serta-merta namun gagal diselesaikan sebelum jam 6 pagi bagi membolehkan perkhidmatan LRT berjalan seperti biasa.

Menurut kenyataan itu, insiden terbabit turut merosakan kabel isyarat (signaling cable) dan peralatan bekalan kuasa di landasan (power rail.

“Bagi memastikan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya tetap beroperasi, Rapid KL melaksanakan mod perkhidmatan terhad dengan pergerakan satu hala dari Gombak ke Pasar Seni.

“Bagaimanapun, semua tren LRT Kelana Jaya terpaksa bergerak dengan kelajuan yang diperlahankan dan berhenti di stesen lebih lama daripada biasa. Perkhidmatan LRT dari KLCC ke Gombak diberhentikan sementara untuk membolehkan kerja-kerja mengeluarkan jentera tergelincir dan pembaikan trek diteruskan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, perkhidmatan antara Putra Heights dan KLCC berjalan seperti biasa.

Rapid KL dalam kenyataan itu turut memberitahu pihaknya menyediakan perkhidmatan bas perantara khas percuma daripada Gombak ke KLCC sehingga jam 10.30 pagi tadi.

“Penumpang yang keluar dari platform untuk menggunakan perkhidmatan lain diberi bayaran balik bagi token atau kad Touch N'Go masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Makluman mengenai gangguan ini telah dikeluarkan di media sosial dan diumumkan di dalam tren dan stesen sejak 6 pagi. Rapid KL memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul akibat daripada gangguan perkhidmatan LRT Kelana Jaya ini,” katanya.

Perkhidmatan yang tergendala itu kembali pulih jam 2 petang tadi.