MCMC yakin projek rintis mampu kembangkan rangkaian jalur lebar

A
A

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) optimis projek rintis sistem rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi dengan kemudahan teknologi gentian optik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jasin, Melaka mampu memenuhi hasrat kerajaan mengembangkan infrastruktur jalur lebar negara.

Pengerusi MCMC Al-Ishsal Ishak berkata badan itu dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia berpuas hati dengan perkembangan fasa pertama projek rintis itu bagi tempoh Oktober-Disember lalu yang melibatkan aspek kesalinghubungan dan teknikal.

"Dalam tempoh itu, TNB dan beberapa pembekal perkhidmatan internet (ISP) berjaya melancarkan rangkaian itu tepat pada masa selain mencapai aspek susunan perdagangan yang boleh ditawarkan," katanya dalam temu bual dengan organisasi media menjelang lawatan tapak SKMM ke Jasin esok.

Projek rintis itu dilaksana menerusi inisiatif Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang diumumkan dalam Belanjawan 2019. Kerajaan menyediakan peruntukan RM1 bilion bagi pelaksanaan NFCP.

Menurut laporan sebelum ini, projek rintis itu melibatkan 1,100 kediaman di tiga kawasan di Jasin iaitu Taman Merbau, Taman Maju dan Felda Kemendor.

Sebaik fasa kedua projek rintis itu selesai mengikut jangkaan pada Mac ini, hasilnya akan diteliti dan satu pelan akan diketengahkan untuk direplikasi di lokasi lain di seluruh negara.

Melalui NFCP, kerajaan antara lain berhasrat memastikan rakyat berpeluang menikmati pelbagai perkhidmatan melalui capaian infrastruktur jalur lebar berkualiti tinggi pada harga berpatutan selain menyokong perkembangan ekonomi digital dan Revolusi Industri 4.0.

Menurut Al-Ishsal, Jasin dianggap sesuai untuk mensimulasikan rangkaian fiber ke kawasan-kawasan yang berbeza dari segi demografi dan jenis premis termasuk rumah, rumah teres dan penempatan Felda.

Selain itu, terdapat kawasan komersil dan perindustrian di Jasin di mana ada permintaan untuk perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi.

“Faktor lain yang dipertimbangkan ialah tentang hakikat bahawa perkhidmatan jalur lebar tetap yang sedia ada di Jasin adalah menerusi rangkaian tembaga,” kata Al-Ishsal sambil menyatakan bahawa Jasin merupakan kawasan projek perintis sedia ada untuk projek pemeteran pintar TNB. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia