Polis nafi gambar tular satu lagi majlis bekas PKM

Gambar yang tular di laman sosial.
Gambar yang tular di laman sosial.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menafikan gambar tular di laman sosial yang didakwa satu lagi perjumpaan bekas Parti Komunis Malaya (PKM) berlangsung di negara ini, sebaliknya majlis tersebut berlangsung di sebuah hotel di Hat Yai.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, majlis tersebut berlangsung dewan besar Hotel Lee Garden, Hat Yai itu juga sebagai memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai.

"Majlis yang sama diadakan pada 2 Disember lalu Hotel Lee Garden, Hat Yai di Thailand bukan di sini.

"Perkara itu juga sudah disahkan oleh wartawan portal yang menulis berita tersebut," katanya kepada Sinar Harian.

Sejak semalam tular gambar-gambar majlis tersebut di media sosial kerana ada yang kelihatan memakai pakaian seragam PKM sehingga mengundang kemarahan orang ramai.

Sementara itu, beliau memaklumkan, sehingga 12 tengah hari hari ini, sebanyak 51 laporan diterima dari seluruh negara berhubung perjumpaan tersebut.

"Kita ke tempat kejadian dan merekod percakapan penganjur dan pengadu serta pegawai yang menguruskan lokasi majlis," katanya.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan polis segera menyelesaikan siasatan berhubung dakwaan pertemuan membabitkan bekas ahli PKM yang berlangsung di sebuah dewan di Kajang kerana dikhuatiri mengancam keamanan negara tidak boleh dibiarkan berlaku.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad lalu media melaporkan kira-kira 300 orang menghadiri perjumpaan dipercayai melibatkan bekas ahli PKM antara lain dikatakan bagi memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dengan PKM pada 2 Disember 1989.

ARTIKEL BERKAITAN: Selesai segera siasatan pertemuan ahli PKM di Kajang