Siswa UMNO bakal ditubuhkan di semua universiti

Asyraf Wajdi berucap pada Jamuan Tengah Hari Pemuda UMNO bersama Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. - Foto: Zahid Izzani
Asyraf Wajdi berucap pada Jamuan Tengah Hari Pemuda UMNO bersama Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. - Foto: Zahid Izzani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Siswa UMNO akan ditubuhkan di semua universiti sebagai platform baharu bagi mengukuhkan lagi sokongan terhadap parti itu.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu diambil susulan pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang membenarkan mahasiswa aktif berpolitik telah diluluskan baru-baru ini.

"Walaupun belum dirasmikan secara rasmi (Siwa UMNO), kehadiran mahasiswa yang ramai (ke Perhimpunan Agung UMNO 2019) mencerminkan mereka kekal dengan UMNO.

"Sebab itulah kita tubuhkan satu platform baharu yang akan kita gerakan di seluruh universiti dengan mengambil kira AUKU telah dipinda bagi membolehkan parti politik ditubuhkan di universiti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jamuan Tengah Hari Pemuda UMNO bersama Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, kehadiran ramai mahasiswa ke perhimpunan terbesar parti itu merupakan isyarat bahawa UMNO berada di landasan yang betul.

"Maka dengan itu Insya-ALLAH kita akan rasmikan Siswa UMNO waktu perhimpunan nanti," katanya.

Dewan Rakyat tahun lalu melakar sejarah apabila pindaan terhadap AUKU 1971 yang membenarkan mahasiswa aktif berpolitik diluluskan dengan sebulat suara.

Artikel Berkaitan:

Pindaan akta tersebut diluluskan selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Pindaan berkenaan membabitkan pemansuhan Seksyen 15(2)(c) AUKU yang menghalang mahasiswa terbabit dalam kegiatan politik di kampus.

Pindaan itu sekali gus memberi lebih banyak ruang dan kebebasan dalam bersuara serta berpolitik.