Polis tahan warga Myanmar, rampas dadah RM11,000

A
A

IPOH - Seorang lelaki warganegara Myanmar ditahan polis dalam satu serbuan melalui Op Sarang di Bagan Sungai Tiang, Bagan Datuk pada Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, R Ravi Chandran berkata, hasil serbuan tersebut berjaya menemukan dadah jenis heroin seberat 145.23 gram dan dadah jenis syabu seberat 40.29 gram bersama lelaki Myanmar berusia 39 tahun itu.

Katanya, serbuan tersebut dilakukan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Hilir Perak sambil dibantu anggota Balai Polis Rungkup serta anggota Balai Polis Bagan Datuk.

"Hasil semakan mendapati suspek tersebut tidak mempunyai rekod kesalahan lampau tetapi ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati positif morphine.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Ravi Chandran berkata, nilai keseluruhan rampasan kedua-dua jenis dadah itu dianggarkan berjumlah RM11,126.55.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia