Lokman Adam, dua individu kemuka representasi gugur tuduhan serang penuntut UM

Lokman
Lokman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dan dua individu yang didakwa atas pertuduhan mencederakan seorang penuntut universiti mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan terhadap mereka.

Timbalan Pendakwa Raya, Adam Mohamed memberitahu Majistret Tawfiq Affandy Chin bahawa Lokman Noor menyerahkan representasinya semalam.

“Oleh itu, pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan lain untuk mengetahui keputusan representasi,” katanya semasa sebutan kes itu hari ini.

Peguam N Logendran yang mewakili Lokman Noor memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah menghantar representasi melalui pos pada 21 November lepas dan semalam pihaknya telah menghantar satu salinan melalui emel kepada pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 22 Januari 2020 untuk sebutan semula kes itu.

Dalam prosiding itu, tiga tertuduh lain iaitu Ketua UMNO Petaling Jaya, Abdul Mutalif Abdul Rahim, 48, diwakili peguam Azalea Nazihah Zulkefli manakala peguam Datuk M Reza Hassan mewakili Salmon Arif Budiman Mychlis, 48, dan Mohd Norzakifah Mohamed Nawi, 44.

Ketika ditemui pemberita, Adam berkata, selain Lokman Noor dua lagi individu yang menghantar representasi pada 9 Oktober lepas ialah Salmon Arif Budiman dan Mohd Norzakifah.

Pada 28 Mac lepas, Lokman Noor, 46, Abdul Mutalif, yang juga adik Ahli Parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim; Salmon Arif Budiman (kerani Pejabat UMNO Lembah Pantai) dan Mohd Norzakifah (penghantar surat sebuah firma guaman), masing-masing mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mencederakan seorang penuntut universiti.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, keempat-empat mereka bersama seorang lagi yang masih bebas sebagai anggota perhimpunan yang menyalahi undang-undang dan bagi melaksanakan tujuan bersama perhimpunan itu telah melakukan mudarat awam dan seorang daripada tertuduh telah menyebabkan kecederaan kepada Wong Yang Ke, 23, penuntut Universiti Malaya, dengan cara memegang rahang, menarik leher dan menarik rambut mangsa dari arah belakang.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di perhentian bas, di hadapan Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu, Brickfields di sini pada 3.30 petang, 22 Mac lepas.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 149 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Lokman Noor juga didakwa atas satu pertuduhan dengan niat hendak menyebabkan kerugian kepada mangsa sama, dengan cara mengoyakkan plakad milik mangsa di tempat, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Abdul Mutalif juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Siti Mariam Mohamad Nizar, 25, pelatih portal berita, pada ibu jari tangan kanan mangsa di Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu, Brickfields di sini, pada 3.45 petang, 22 Mac lepas. Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman yang sama.

Lelaki itu turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu dengan sengaja telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama di tempat dan tarikh sama mengikut seksyen yang sama. - Bernama