X

Kindly register in order to view this article
!

IHAB perkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju halal

Fuziah Salleh
A
A

KUALA LUMPUR - Penubuhan International Halal Authority Board (IHAB) mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju halal global melalui pelaksanaan pengiktirafan pihak berkuasa dan badan pensijilan halal di luar negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Fuziah Salleh berkata, badan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi menjaga kepentingan umat Islam dalam pensijilan halal produk makanan dan perkhidmatan.

“IHAB yang dianggotai oleh pihak berkuasa dan badan pensijilan halal daripada 45 negara mampu menggerakkan matlamat ke arah penyeragaman dan pengharmonian proses pelaksanaan pensijilan halal di kebanyakan negara di dunia.

“Sehingga 3 Disember 2019, Jakim telah mengiktiraf 78 badan pensijilan halal dari negara berkenaan dan pengiktirafan diberikan berasaskan kepada pematuhan dan pelaksanaan piawaian halal yang menepati ciri-ciri dan model Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Awang Hashim (Pas-Pendang) yang bertanyakan tentang perancangan kerajaan meningkatkan peranan Jakim dalam pensijilan halal selain tentang isu Buy Muslim First (BMF) semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Fuziah berkata, pengiktirafan itu secara tidak langsung menjadi mekanisme penyelarasan di peringkat antarabangsa dan badan-badan pensijilan halal ini perlu menerima standard piawaian halal Malaysia.

Beliau turut memaklumkan Malaysia telah dilantik sebagai Pengerusi dan Setiausaha Agung IHAB bagi penggal 2019 hingga 2021 semasa Mesyuarat Agung IHAB pada 1 April lepas.

Menyentuh tentang BMF, katanya, kerajaan menerusi agensi-agensi agama bersetuju untuk membantu mempromosikan produk-produk yang halal yang diusahakan oleh usahawan muslim termasuk menerusi media sosial.

Fuziah berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pasca Kabinet agensi agama baru-baru ini.

“Kerajaan menjaga kepentingan semua pihak dan kumpulan di negara ini, berkenaan kempen BMF yang disalah anggap sebagai gerakan memboikot produk kaum lain, kerajaan pada hari ini mengiktirafnya dengan penekanan diberikan kepada konsep halalan toyyiban.

“Tumpuan diberikan kepada pensijilan halal yang meliputi semua aspek termasuk bahan ramuan, proses penyediaan, kesucian peralatan, kebersihan premis dan pengendalian yang mementingkan pematuhan syariah selain aspek keselamatan, kualiti dan jaminan integriti sesuatu produk atau perkhidmatan,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) tentang langkah yang diambil oleh kerajaan dalam mengawal selia produk halal di pasaran, Fuziah berkata, pemantauan berkala sentiasa dilakukan oleh Jakim bagi memastikan tidak berlaku penyalahgunaan logo halal.

Katanya, satu direktori halal juga diwujudkan di portal www.halal.gov.my atau melalui aplikasi ‘Smart Halal’ dan ‘Verify Halal’ bagi membolehkan pengguna memeriksa status halal sesuatu produk di pasaran. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!