Polis perketat kawalan sempadan Kelantan-Thailand ketika banjir

Air Sungai Golok yang melimpah hingga ke kawasan sempadan. Gambar kecil: Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan
Air Sungai Golok yang melimpah hingga ke kawasan sempadan. Gambar kecil: Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan memperketat kawalan di sempadan Malaysia-Thailand susulan limpahan air Sungai Golok pada gelombang pertama musim tengkujuh yang melanda negeri ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, air Sungai Golok yang melimpah sejak Jumaat lalu menyebabkan kawasan sempadan menjadi luas seperti lautan.

“Keadaan paras air di Sungai Golok meningkat susulan hujan berterusan selama beberapa hari di Rantau Panjang dan menyebabkannya melimpah sehingga garisan sempadan antara kedua-dua negara tidak dapat dilihat dengan jelas.

“Walau bagaimanapun, saya tegaskan kawalan tetap ada dan diperketatkan bagi mengelak dibolosi penyeludup yang cuba membawa barangan terlarang ke negara ini,” katanya.

Beliau berkata sedemikian pada sidang akhbar harian sempena musim tengkujuh di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini hari ini.

Hasanuddin berkata, keadaan terkini kawasan sempadan negara masih dinaiki air dan pihaknya mengadakan rondaan kawalan secara kerap melalui Pasukan Gerakan Am dan Pasukan Polis Marin selain kawalan oleh Angkatan Tentera Malaysia.

“Individu yang ingin masuk atau keluar melalui sempadan perlu menggunakan laluan yang sah mengikut undang-undang.

“Mereka yang cuba melintasi sempadan secara haram akan ditahan pihak berkuasa yang sentiasa menjalankan pemantau di kawasan itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, lapan daripada keseluruhan 55 balai polis yang ada di 10 daerah di negeri ini dinaiki air namun tidak menjejaskan penugasan pihak berkuasa berkenaan.

“Air naik kira-kira setengah meter ke dalam balai tiga balai iaitu di Balai Polis Rantau Panjang dan Balai Polis Kuala Jambu serta Balai Polis Simpangan di Tumpat.

“Sementara di balai-balai lain, air naik di sekitar pekarangan dan sudah mulai surut ketika ini. Operasi balai berjalan seperti biasa bagi memudahkan masyarakat membuat laporan dan sebagainya,” katanya.

Katanya, setakat jam 8 pagi hari ini, sebanyak 61 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka dengan mangsa banjir berjumlah 13,709 orang daripada 4,961 keluarga.

“Setakat ini, tujuh daerah masih dilanda banjir iaitu di Tanah Merah, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Kota Bharu, Tumpat dan Kuala Krai.

“Keadaan paras air di semua sungai juga menunjukkan penurunan dan air banjir ini dijangka akan turun ke Tumpat. Saya meminta semua penduduk di negeri ini supaya terus berhati-hati dan sentiasa berwaspada,” katanya.