Banjir di Chuchoh Puteri kesan pembalakan?

Air Sungai Sok dikatakan melimpah ke kawasan kampung menyebabkan lebih 20 rumah tenggelam.
Air Sungai Sok dikatakan melimpah ke kawasan kampung menyebabkan lebih 20 rumah tenggelam.
A
A
A

KUALA KRAI - Penduduk Kampung Chuchoh Puteri A, di sini mendakwa banjir luar kebiasaan yang melanda kawasan kampung mereka akibat tiada sistem tadahan air semula jadi.

Menurut wakil penduduk, Marliyza Manaf, ekosistem kampung mereka telah rosak kerana pokok-pokok yang selama ini menjadi benteng air hujan telah ditarah rakus.

Menurutnya, penggondolan bukit, air terjun cetek, sungai dipenuhi pasir menyebabkan air hujan di musim tengkujuh mengalir limpah ke kawasan rumah-rumah yang berdekatan dengan sungai utama mereka.

"Penduduk kampung bergantung kepada sumber air asli dari air bukit. Terdapat sebatang paip besar yang menyalurkan air dari bukit ke rumah penduduk. Tiada takungan yang besar di tempat punca air diambil, hanya kolam semula jadi air.

"Pada tahun 2014, kampung kami tidak terjejas akibat bah kuning kerana kampung kami berada atas bukit. Cuma banjir biasa akibat limpahan sungai kerana taburan hujan yang banyak.

"Kerja-kerja pembalakan di kawasan berhampiran kampung kami jelas menjejaskan kehidupan. Ada yang kata, pembalakan untuk pemodenan namun bukan ini yang kita mahu. Kerja-kerja pembalakan ini langsung tidak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Katanya, penduduk kampung hanya mahukan solusi dan tidak mahu perkara ini dipolitikkan demi kepentingan peribadi.

"Kami hanya mahu solusi. Adakah 10 tahun lagi kampung kami bakal menjadi padang jarak padang tekukur, hasil kerakusan manusia?," soalnya.

Artikel Berkaitan:

Bagi penduduk, Mohd Rashid Sulong, 70, situasi banjir pada 1 Disember lalu adalah paling teruk kerana air naik secara mendadak dan tidak disangka.

"Kami tidak sempat berbuat apa-apa, hanya mampu menyelamatkan diri kerana air naik begitu cepat dari arah sungai.

"Benteng yang dibina pada 2011 juga tenggelam menyebabkan air melimpahi kawasan rumah sehingga kami terkandas.

"Hari ini kami pulang ke rumah bagi kerja-kerja pembersihan namun ia sudah tentu mengambil masa yang lama untuk pulih semula sekurang-kurangnya sebulan," katanya.