[DIKEMASKINI] Buku pertama Abdul Hadi dengan Karya Bestari

Buku Bicara Ini Demi Perpaduan
A
A

SHAH ALAM - Penerbitan buku Bicara Ini Demi Perpaduan yang ditulis oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat tepat pada masanya kerana ia mengangkat tema perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Editor Kanan Karya Bestari, Mohd Sofian Mohd Resali berkata, pengisian yang terkandung dalam buku tersebut juga segar untuk anak muda dan sesuai pada situasi sekarang dengan isu perpaduan diangkat sebagai isu nasional.

“Buku Bicara Ini Demi Perpaduan turut berkisar perihal perpaduan dalam kalangan umat Islam dan bukan Islam menurut kaca mata Islam.

“Insya-ALLAH, buku ini sesuai untuk Muslim dan bukan Muslim. Ia perlu dimiliki oleh setiap lapisan masyarakat yang mahu memahami dengan lebih jelas tentang gagasan perpaduan yang diangkat oleh Abdul Hadi,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, buku tersebut adalah buku pertama tulisan Abdul Hadi bersama Karya Bestari dan usaha untuk menerbitkan buku berkenaan mengambil tempoh selama setahun yang akhirnya ia berjaya dibukukan pada November lalu.

Buku Bicara Ini Demi Perpaduan mempunyai sebanyak 194 halaman yang disertakan dengan gambar dan berwarna yang dijual dengan harga RM27. Buku berkenaan boleh didapati di Karangkraf Mall Seksyen 15 di sini dan kedai buku berhampiran di seluruh Malaysia.