Wanita bawa sisa rumah terbakar di luar Parlimen

Plesman bersama pasangannya membawa sisa serpihan rumah mereka yang musnah terbakar di luar bangunan Parlimen di Canberra kelmarin. - Foto Agensi
Plesman bersama pasangannya membawa sisa serpihan rumah mereka yang musnah terbakar di luar bangunan Parlimen di Canberra kelmarin. - Foto Agensi
A
A
A

CANBERRA - Seorang wanita di Australia nekad membawa sisa serpihan rumahnya di luar bangunan Parlimen di Canberra ketika mengadakan protes semalam bagi menggesa tindakan segera diambil terhadap fenomena perubahan iklim.

Melinda Plesman dan pasangannya, Dean Kennedy kehilangan rumah mereka dalam kebakaran semak yang melanda bandar Grafton di New South Wales pada bulan lalu.

Plesman menegaskan dia tidak tahu apa nasibnya pada masa akan datang selepas wanita itu kini terpaksa menetap di sebuah hotel.

Pada salah satu kepingan logam yang dibawa bersama, wanita itu turut menulis mesej tegas kepada Perdana Menteri, Scott Morrison, 'Krisis iklim telah memusnahkan rumah saya'.

"Saya hilang segala-galanya. Komuniti saya juga alami nasib sama. Ketika ini semua berlaku, Perdana Menteri mahu kami tidak bercakap tentang isu perubahan iklim. Saya sangat marah dan sedih dengan sikap sambil lewa diambil kerajaan," ujarnya.

Bulan lalu, Morrison didakwa enggan memberi sebarang komen ketika disoal tentang kaitan antara kebakaran besar itu dengan fenomena perubahan iklim.

Kebakaran teruk melanda New South Wales dan Queensland itu turut menyebabkan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan. - Agensi

Artikel Berkaitan: